Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melaksanakan Audit Bahasa Melayu 2025 di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang berlangsung pada 13 hingga 16 Mei 2025. Pelaksanaan audit bahasa ini selaras dengan iltizam BERNAMA untuk memperkasakan bahasa kebangsaan dalam sektor penyiaran.
Pelaksanaan Audit Bahasa Melayu ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan DBP bagi memartabatkan dan memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu, khususnya dalam sektor penyiaran.
Pembentangan Laporan Audit Bahasa Melayu telah diadakan dalam Mesyuarat Penutupan Audit Bahasa Melayu pada 16 Mei 2025 yang dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pengarang BERNAMA dan turut dihadiri oleh barisan pengurusan kanan BERNAMA serta wakil jabatan, bahagian dan unit yang diaudit.
DBP diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Encik Rahimi bin Arifin selaku wakil pengurusan DBP dan pegawai DBP yang terdiri daripada Puan Roslida binti Mustapha, Puan Siti Rohaizah binti Sarkom, Puan Nurul Syazana binti Shamsudin serta Encik Abd. Karim bin A. Bakar selaku juruaudit bahasa yang berpengalaman luas dalam bidang kebahasaan.
BERNAMA merupakan agensi kedua diaudit pada tahun ini selepas Lembaga Pertubuhan Peladang. Audit Bahasa Melayu ini dilaksanakan bertujuan menilai tahap penggunaan bahasa Melayu dan mutu bahasa Melayu yang digunakan dalam dokumen rasmi BERNAMA termasuklah surat, e-mel, minit mesyuarat, laporan dan dokumen perjanjian.
Perkara ini selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 15 Januari 2020, serta Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian PO.1.1.1 Versi 1.0 (2022). Kedua-dua pekeliling ini menekankan tentang kepentingan penggunaan bahasa Melayu secara meluas, betul dan berkualiti dalam semua urusan rasmi jabatan dan agensi kerajaan.
Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pengarang BERNAMA memaklumkan bahawa agensi ini menyambut baik hasrat DBP untuk melaksanakan Audit Bahasa Melayu di BERNAMA pada tahun ini. Beliau berpandangan bahawa BERNAMA boleh mengambil peluang ini untuk mengenal pasti kekurangan atau kelemahan penggunaan bahasa kebangsaan di BERNAMA yang merupakan satu daripada media penyiaran arus perdana.
DBP menzahirkan ucapan penghargaan atas kesungguhan BERNAMA dalam memartabatkan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam semua bentuk penyampaian maklumat. Dapatan Audit Bahasa Melayu menunjukkan bahawa dokumen rasmi di BERNAMA agak komprehensif dan memenuhi kriteria kebahasaan yang ditetapkan dalam skop pengauditan.
Usaha berterusan BERNAMA dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, berkesan dan profesional wajar dijadikan contoh oleh agensi lain, terutamanya agensi dalam sektor media dan komunikasi massa. Pelaksanaan audit ini juga mengeratkan lagi kerjasama yang sedia terjalin antara DBP dengan BERNAMA.
BERNAMA sekali lagi menegaskan bahawa komitmennya dalam menjunjung amanah sebagai agensi berita nasional yang mendukung peranan bahasa Melayu sebagai lambang jati diri dan medium perpaduan negara.
Ujar YBrs. Tuan Arul Rajoo Durar Raj,
Kami menerima segala teguran dan akan membuat penambahbaikan dalam semua dokumen pada masa akan datang. Dapatan audit juga akan dikongsikan dalam media sosial BERNAMA untuk dijadikan panduan dan rujukan semua pihak.
