Diterbitkan pada 21 Mei 2025, 22:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Beijing– Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia menjalinkan kerjasama kebahasaan dengan China Media Group (CMG), Beijing yang merupakan satu daripada kumpulan media terbesar di dunia.

Jalinan kerjasama ini bersempena dengan lawatan kerja DBP Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari ke Beijing, China. Dalam pertemuan ini, DBP dan CMG merancang untuk mengadakan program kerjasama dalam usaha meluaskan penggunaan bahasa Melayu di negara China.

Menurut YBrs. Dr. Hazami,

DBP menyambut baik hasrat CMG untuk bekerjasama dalam aspek kebahasaan. Kerjasama ini dilihat mampu memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Sementara itu, lawatan kerja tersebut juga memberikan peluang kepada CMG untuk menjalankan wawancara eksklusif bersama-sama dengan beliau. Wawancara tersebut membicarakan tentang isu pengantarabangsaan bahasa Melayu dan peranan teknologi baharu seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran dan penyebaran bahasa Melayu.

Terdahulu, Ketua Pengarah DBP ke China bagi menghadiri Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu – China (SATBBMC) V Tahun 2025 sebagai penyampai ucap utama yang akan diadakan di Beijing Foreign Studies University.

Yang turut hadir dalam lawatan ini termasuklah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (BPI), DBP, Puan Roziah binti Md Yunus dan Perancang Bahasa BPI, Puan Fadhilah binti Ab. Bahar.

YBrs. Dr. Hazami bin Jahari dan delegasi DBP Malaysia semasa pertemuan dengan CMG di Beijing, China.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi