Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Untuk bergelar negara hebat dan bertamadun, perlu hebat dari sudut ekonomi, kewangan dan lebih hebat dari sudut bahasanya demi sastera dan budaya.”

Demikian kenyataan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim semasa Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa Public Bank – DBP di Hotel Hilton Kuala Lumpur, petang tadi.
Beliau yang menyatakan hasrat untuk menghidupkan semula Hadiah Bahasa selepas 27 tahun yang diumumkan di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya pada bulan Mac yang lalu telah dapat direalisasikan.
Dalam ucapan semasa majlis pelancaran tersebut, YAB Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap Public Bank yang sedia mendukung dan meneruskan usaha menghidupkan semula anugerah ini yang kali terakhir diadakan pada tahun 1998.
Beliau menegaskan bahawa usaha ini dilakukan agar pernyataan “mendukung bahasa kebangsaan” bukan sekadar slogan biasa, sebaliknya perlu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuklah kerajaan, kementerian, institusi pendidikan serta pihak swasta. Tambah beliau lagi, usaha ini merupakan agenda nasional dan wajar melibatkan semua pihak untuk menggali semula dan menyemarakkan semangat bahasa, budaya dan karya klasik.
Menurut beliau,
Ciri manusiawi itu tidak hanya hidup segar dengan kekuatan ekonomi semata-mata, sebaliknya ciri ini turut meliputi bahasa dan budaya. Sebagai usaha mempertahankan tamadun bangsa di samping kemajuan ekonomi, pemartabatan bahasa, sastera seni dan budaya harus diberikan keutamaan.
Beliau turut memetik perbualannya dengan Presiden Negara China, Xi Jinping yang menekankan tentang keperluan menerapkan karya klasik China dalam sistem pendidikan kanak-kanak di negara tersebut. Karya klasik China seperti Konfusius, Mengzi dan Laozi dihidupkan dan diajarkan di sekolah agar identiti dan jati diri kanak-kanak di negara tersebut dapat dikekalkan dan tidak terjebak serta terpukau dengan karya asing.
Beliau menegaskan,
Dalam negara MADANI yang memerlukan rakyat berhempas-pulas memperhebat institusi kewangan, kita tidak seharusnya meninggalkan satu aspek dalam pertumbuhan dan pembangunan negara yang sangat penting, iaitu penguasaan bahasa yang baik dan menghargai serta memartabatkan karya besar dalam pelbagai bidang sastera, ekonomi, kewangan dan digital.
Adalah satu kesilapan besar bagi kita tatkala mengejar perubahan, pembaharuan dan pembangunan tetapi aspek ini diremehkan. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak ada satu negara yang hebat yang meninggalkan aspek ini seperti Korea dan Jepun.
Tambah beliau lagi, walaupun kementerian pendidikan hari ini dicabar dan diasak oleh pelbagai pihak tentang penguasaan bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa lain, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), namun aspek yang sangat utama, iaitu jati diri, maruah dan nilai hidup tidak boleh ditinggalkan.
Saya seringkali mengingatkan bahawa dalam usaha kita menggapai langit, jangan kita lupa mengakar di bumi yang berkaitan dengan akhlak, agama dan budaya.