Diterbitkan pada 22 Mei 2025, 20:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Beijing – “Seperti yang sedia maklum, di seluruh negara China terdapat 17 buah institusi pendidikan tinggi yang sedang menawarkan pembelajaran Bahasa Melayu,” ujar Yang Berbahagia (YBhg.) Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Norman Muhamad, Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China dalam Majlis Perasmian dan Jamuan Makan Malam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu – China Ke-5 (SATBBMC Ke-5) semalam.

YBhg. TYT Dato’ Norman Muhamad, Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis tersebut.

Ujar YBhg. TYT Dato’ Norman Muhamad lagi,

Sepanjang lebih 60 tahun, perkembangan bahasa Melayu bukan sahaja menggalakkan, tetapi juga menjadi lambang kekukuhan hubungan ilmiah dan diplomasi pendidikan antara Malaysia dengan China.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu usaha pengembangan bahasa Melayu dan diharapkan sokongan berterusan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperbanyak, mempelbagaikan dan menyumbang bahan bacaan bahasa Melayu kepada para pelajar antarabangsa, terutamanya di negara ASEAN dan China.

Majlis yang diadakan di Grand Ballroom Shangri-La Hotel, Beijing, China itu turut diadakan sesi pelancaran buku yang bertajuk Selongkar Budaya, Bahasa dan Sosiologi dalam Terjemahan China – Melayu terbitan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Sementara itu, sesi penyerahan sumbangan buku oleh pihak DBP kepada Universiti Brunei Darussalam, Tokyo University of Foreign Studies, National University of Singapura, Singapore University of Social Science, Prince of Songkla University dan Thammasat University turut diadakan dalam majlis tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi