Beijing–”Dalam mendepani pembangunan teknologi bahasa yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang merencanakan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan termasuklah Jabatan Digital Negara, Kementerian Digital, penyelidik di universiti dan pihak industri selaku pembangun dan pemasar teknologi.”
Demikian menurut Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari semasa menyampaikan ucap utama 1 yang bertajuk “Pemanfaatan Kecerdasan Buatan dalam Penyebaran Bahasa dan Sastera Melayu Sejagat” dalam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu–China ke-5 (SATBBMC ke-5).
Dalam ucap utama tersebut, beliau turut menekankan tentang kesan positif AI yang dapat meningkatkan inovasi dan kecekapan, mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti serta membantu pembangunan produk serta perkhidmatan baharu.
Seminar ini dilaksanakan selama dua hari mulai 22 Mei 2025 hingga 23 Mei 2025 bertempat di Dewan Utama, Bangunan Fakulti Bahasa Arab, BFSU, Beijing, China.
Seminar ini merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama DBP, Education Malaysia (EM), Beijing Foreign Studies University (BFSU) serta Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF).
YBrs. Dr. Hazami bin Jahari (dua dari kiri) bergambar kenangan semasa menghadiri SATBBMC ke-5 di Beijing, China.