Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBeijing – Bagi memajukan Pengajian Melayu demi kebaikan dan faedah semua pemegang taruh, sembilan delegasi dari negara China (2), Malaysia (3), Jepun (1), Indonesia (1), Brunei (1) dan Singapura (1) dipelawa untuk memberikan cadangan tentang kerjasama serantau dalam sesi Randau yang bertajuk “Kerjasama Serantau dalam Memajukan Pengajian Melayu”.
Sesi Randau tersebut merupakan satu daripada sesi dalam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu – China Kelima (SATBBMC Ke-5) yang diadakan di Dewan Utama, Bangunan Fakulti Bahasa Arab, Beijing Foreign Studies University, Beijing, China.
Dalam sesi tersebut, negara-negara dengan kepakaran bahasa Melayu dicadangkan untuk menyediakan latihan atau kursus secara berkala kepada pensyarah di universiti negara ASEAN yang mempunyai jurusan Pengajian Bahasa Melayu sama ada secara dalam talian atau bersemuka.
Antara cadangan lain termasuklah dengan menyediakan ujian penilaian bahasa Melayu peringkat antarabangsa yang setaraf dengan ujian Test of English as a Foreign Language (TOEFL) dan English Language Proficiency Assessment (ELS) serta menyediakan konsortium Pengajian Melayu yang dapat mengangkat bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.
Delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari melalui ucapan penutupan seminar menyifatkan bahawa DBP sebagai penanggungjawab pengembangan bahasa Melayu di Malaysia mempunyai tanggungjawab yang sangat berat selaras dengan harapan yang diberikan.
Menurut beliau,
DBP sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengajar bahasa Melayu di negara luar.

Seminar ini dilaksanakan selama dua hari, iaitu pada 22 hingga 23 Mei 2025 dan merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Education Malaysia (EM), Beijing Foreign Studies University (BFSU) serta Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF).