Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Kelunakan dan kemerduan dendangan “Syair Cintai Bahasa” nukilan Nur Amelyana Noor Kamaruzaman oleh Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman dalam irama narasi telah berjaya membuatkan beliau dinobatkan sebagai johan Pertandingan Dendangan Syair dalam Festival Bitara Melayu (FESTIARA 2025).

Pertandingan yang diadakan pada 23 Mei 2025 bertempat di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan anjuran Kelab Pengajian Bahasa Melayu UKM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2025.

Aksi Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman semasa mendendangkan “Syair Cintai Bahasa” nukilan Nur Amelyana Noor Kamaruzaman dengan penuh penghayatan.

Abdul Rasmin yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah menjelaskan bahawa beliau sudah lama tidak menyertai pertandingan dendangan syair dan bersyukur apabila diberikan kemenangan dalam pertandingan tersebut pada kali ini. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang banyak membantu beliau sehingga berjaya meraih kemenangan tersebut.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa saya yang tidak pernah berhenti menitipkan doa, Pusat Kebudayaan USIM yang sentiasa menyokong dan menjadi medan dalam memartabatkan seni dan budaya tradisional Melayu, serta sahabat pejuang puisi yang menjadi pendukung sehingga saya menggapai kemenangan pada hari ini.

Di samping itu, pelibatan beliau sejak dari bangku sekolah dan pengalaman mewakili sekolahnya ke peringkat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) se-Malaysia dalam aktiviti dendangan syair telah memberikan kelebihan kepada Abdul Rasmin untuk mendalami, menghayati dan menyampaikan syair yang bermakna serta memikat hati para juri.

Tambah beliau lagi, “Kini, saya bukan hanya bergiat aktif dalam dendangan syair, tetapi saya juga terlibat dalam aktiviti kesusasteraan yang lain termasuklah pendeklamasian dan penulisan puisi. Terdapat beberapa karya telah diterbitkan, antaranya yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa terbitan DBP.”

Demikian kata-kata Abdul Rasmin yang merupakan mahasiswa Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM, yang pernah menjadi johan dalam pertandingan Puisi Drama (PUISIDRA) anjuran Berita Harian dengan kerjasama DBP mewakili Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS), Pusat Kebudayaan USIM, baru-baru ini.

Abdul Rasmin turut menzahirkan harapan kepada semua generasi muda agar sedar bahawa generasi baharu inilah yang perlu mencintai bahasa dan bangsa kebangsaan negara sendiri. Ujar beliau,

Saya berharap agar pertandingan dendangan syair seperti ini dapat dianjurkan dengan lebih kerap kerana hal ini juga merupakan usaha memartabatkan seni dendangan syair itu sendiri. Saya menyeru kepada rakan-rakan supaya bangkit menjadi pejuang bahasa bangsa. Impian saya agar suatu hari nanti, penyair muda di seluruh nusantara dapat dikumpulkan dalam satu wadah yang besar dan bemakna.

Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman (tiga dari kiri) bergambar bersama-sama pemenang Pertandingan Dendangan Syair yang lain.

Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Musazliza Mustan Shir. Yang turut hadir termasuklah Ketua Kelab Pengajian Melayu UKM, YBrs. Encik Che Abdullah Che Ya, pensyarah FSSK, UKM dan para peserta FESTIARA 2025.

Untuk rekod, FESTIARA 2025 telah berlangsung mulai 19 Mei hingga 23 Mei 2025 dengan pelbagai pengisian aktiviti dan pertandingan yang telah disertai oleh mahasiswa institusi pengajian tinggi dari seluruh negara termasuklah pertandingan resensi buku, pertandingan dendangan syair, pertandingan penulisan cerpen, pertandingan penulisan khat dan pertandingan nyanyian lagu tradisional.

Perasmian FESTIARA 2025 yang bertemakan “Bahasa Melayu Nadi Watan” telah dirasmikan oleh YBhg. Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad bin Haji Salleh pada 19 Mei 2025 yang lalu dan turut dihadiri oleh Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry, Dekan FSSK, UKM, YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, dan Pengerusi Pusat Kajian FSSK, UKM, YBrs. Prof. Madya Dr. Maslida Yusof.

Kredit Foto: Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi