Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBeijing – Mahasiswa dari selatan China, iaitu Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS) telah mengharumkan nama institusi apabila berjaya merangkul gelaran juara dalam Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Mahasiswa-Mahasiswi China Piala CATTI Kali ke-3 yang berlangsung di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing, China.
Sebanyak lima peserta telah dinobatkan sebagai johan bagi kategori junior dan empat peserta pula terpilih bagi kategori senior. Daripada jumlah tersebut, tiga pelajar mewakili GDUFS, iaitu dua pelajar junior dan seorang pelajar senior telah berjaya meraih gelaran johan, manakala seorang pelajar senior mendapat naib johan. Keputusan ini telah memperlihatkan keunggulan pelajar GDUFS dalam seni berpidato bahasa Melayu.
Pertandingan berprestij yang menghimpunkan mahasiswa-mahasiswi dari seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) China ini telah menampilkan bakat pidato yang luar biasa dan memperlihatkan penguasaan bahasa Melayu serta kefahaman mendalam terhadap hubungan dua hala antara China dengan Malaysia.
Sebanyak 43 peserta dari 13 IPT di China telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori senior (25 peserta) dan kategori junior (18 peserta).
Acara dwitahunan yang dianjurkan ini merupakan usaha memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi yang mempelajari bahasa Melayu di seluruh IPT China serta memupuk kefahaman budaya dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Kesemua peserta tampil segak dengan berbusana tradisional Melayu termasuklah baju kurung, baju kebaya, baju Melayu dan songket, baju tradisional Sarawak, malah ada juga yang berbaju tradisional kaum minoriti China. Perkara ini telah menjadikan pentas pertandingan bukan sahaja medan ilmu, bahkan juga pentas peragaan warisan budaya Malaysia dan China yang kaya dan berwarna-warni.
Dengan mengangkat tema pidato pada kali ini, iaitu “Hubungan China-Malaysia”, pertandingan ini menuntut setiap peserta untuk menzahirkan pendapat serta berkongsi wawasan mereka terhadap aspek pendidikan, bahasa, diplomasi, ekonomi, pendidikan dan budaya yang melibatkan hubungan kedua-dua negara, iaitu China dan Malaysia.
Pelajar GDUFS yang menyertai kategori senior (tahun ketiga dan keempat) tampil cemerlang dengan pidato yang mantap dari segi kandungan, sebutan, gaya penyampaian serta ketepatan fakta sejarah dan isu semasa.

Yang Ruiping (Aida) dengan tajuk pidatonya, iaitu “Jambatan Digital Era Baharu” telah mendapat tempat pertama bagi kategori senior, manakala Delisha atau nama sebenarnya Qin Yunzhi membawakan tajuk pidatonya “Laut Biru, Rumah Kita Bersama” memenangi hadiah bagi kumpulan tempat kedua.

Bagi kategori junior pula (pelajar tahun pertama dan kedua), kedua-dua pelajar GDUFS mendapat hadiah bagi kumpulan johan (5 orang), iaitu Wu Yitong (Natasha) dengan tajuknya “Wangkang: Warisan Budaya Cemerlang” dan Zhu Junjie (Hakim) dengan tajuk pidatonya “Secawan Kopi, Seumur Persahabatan”.
Pidato yang disampaikan bukan sahaja menonjol dari segi keutuhan hujah dan struktur isi yang mantap, malah dari aspek penggunaan bahasa Melayu yang tertib, sebutan yang hampir sempurna serta gaya retorik yang meyakinkan.
Dengan laras bahasa yang kemas, sebutan yang jelas serta hujah yang tersusun ini, pidato tersebut menyerlah sebagai contoh penguasaan bahasa Melayu yang mantap dalam kalangan penutur asing di China.
Juri pertandingan yang terdiri daripada tokoh akademik dan pakar bahasa Melayu dari seluruh universiti di China yang menawarkan jurusan bahasa Melayu menilai peserta berdasarkan aspek penguasaan bahasa, kreativiti, penyampaian isi dan keberkesanan komunikasi silang budaya.

Kemenangan ini bukan sahaja membuktikan kecemerlangan pelajar GDUFS dalam penguasaan bahasa asing tetapi turut mencerminkan keberkesanan pendekatan pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing di universiti tersebut.
Pensyarah pengiring dari GDUFS turut meluahkan rasa bangga terhadap usaha gigih pelajar dan komitmen semua tenaga pengajar dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, tetapi juga yang dapat memahami nilai-nilai murni yang terkandung dalam hubungan Malaysia-China.
Meskipun pelajar GDUFS dan beberapa universiti lagi terpilih sebagai kumpulan johan, peserta dari universiti yang lain turut menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan.

Mereka menyampaikan pidato yang bukan sahaja berinformasi dan reflektif, malah turut menyentuh pelbagai aspek hubungan dua hala Malaysia dengan China, termasuklah sejarah hubungan diplomatik, kerjasama ekonomi, pertukaran pendidikan serta nilai budaya bersama.
Kualiti pidato yang tinggi daripada semua peserta mencerminkan tahap penguasaan bahasa Melayu yang semakin baik dalam kalangan pelajar China, dan ini sekali gus mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa serantau yang signifikan di arena antarabangsa.

Dengan sokongan yang berterusan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka serta kerjasama dua hala antara kerajaan Malaysia dengan China, bahasa Melayu diyakini akan terus berkembang sebagai bahasa serantau yang berwibawa dan berperanan penting dalam landskap global.