Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berkunjung hormat ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor hari ini bagi menyatakan hasrat penganjuran Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Delegasi DBP yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari bin Hasan, disambut mesra oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Yang Berhormat (YB) Dato’ Haji Ismail bin Haji Abu, di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan kerjasama strategik antara DBP dengan Kerajaan Johor dalam menjayakan sambutan BBK sebagai satu platform menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan.
YB Dato’ Haji Ismail bin Haji Abu menyambut baik hasrat tersebut dan menyatakan kesediaan Johor untuk menjadi tuan rumah sambutan tersebut yang dijangka melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penjawat awam dan komuniti setempat.

Turut dibincangkan dalam sesi tersebut adalah cadangan penganjuran program sokongan seperti forum bahasa, pertandingan, program didik hibur, pameran dan jualan buku.
Majlis Sambutan BBK Peringkat Kebangsaan ini dijangka berlangsung pada awal bulan Oktober tahun ini yang menjadi acara kemuncak sambutan tahunan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK).
Turut bersama dalam kunjungan hormat ini termasuklah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah binti Md Yunus dan Pengarah DBP Wilayah Selatan, Tuan Haji Mohd Riduwan bin Wahab.