Diterbitkan pada 30 Mei 2025, 17:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bachok — Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi besar dalam memperkasakan bahasa dan sastera Melayu sejajar dengan perkembangan teknologi masa ini. Gabungan AI dan kesusasteraan bukan sekadar soal pemodenan, malah sebagai usaha menyuntik nafas baharu dalam pembinaan tamadun bangsa.

Dalam hal ini, AI tidak hanya menyumbang kepada kemajuan teknologi, tetapi juga berpotensi besar dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di persada global.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap Profesor Adjung Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBrs. Dr. Hazami bin Jahari berkata, AI mampu mensimulasikan aktiviti manusia seperti pembelajaran, pemahaman, penyelesaian masalah, pembuatan keputusan, kreativiti dan autonomi.

“AI memberikan dimensi baharu dalam pembinaan bahasa dan sastera. Teknologi ini boleh dimanfaatkan dalam pelbagai aspek seperti pembangunan leksikon, penterjemahan, transkripsi dialek serta pengkajian karya dan manuskrip lama,” katanya dalam syarahan beliau yang bertajuk “Pemanfaatan Kecerdasan Buatan dalam Penyebaran Bahasa dan Sastera Melayu Sejagat bersempena dengan Seminar Teknologi Bahasa: Inovasi dan Teknologi Menjulang Bahasa Kebangsaan dalam Era Digital yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, kelmarin.

Menurut beliau, peranan kesusasteraan dalam masyarakat adalah membentuk budaya secara halus dan semula jadi, serta membina peradaban melalui kekuatan hegemoni yang mampu mempengaruhi pemikiran dan perlakuan masyarakat.

Namun begitu, cabaran dalam era AI turut disebut oleh Dr. Hazami. Jelas beliau,

Penggunaan model bahasa besar (LLM) yang berasaskan pemprosesan bahasa tabii (NLP) kini membentuk persekitaran baharu dalam empat aspek utama, iaitu bahasa dan dialek, norma dan budaya, kandungan yang dipercayai, serta keselamatan data dan maklumat.

Beliau menjelaskan bahawa komponen utama AI adalah algoritma, data dan kuasa pengkomputeran, kesemuanya diramal menjadi teknologi serba guna pada masa hadapan, termasuk untuk memacu teknologi bahasa. Oleh itu, pembangunan AI dalam konteks bahasa Melayu mesti bersifat multidisiplin, melibatkan bidang komputeran, linguistik, dan penyelidikan sosial.

“Tiada tamadun tanpa ilmu, dan asas ilmu ialah bahasa dan komunikasi. Maka itu, DBP meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam menyumbang terhadap usaha ini,” tambahnya.

Setakat ini, DBP telah menerbitkan sebanyak 17 869 judul buku termasuk kamus istilah dan ensiklopedia dalam bahasa kebangsaan sejak tahun 1956 hingga tahun 2024. Selain itu, sebanyak 5537 naskhah majalah telah diterbitkan secara fizikal, manakala 761 naskhah diterbitkan secara digital bermula tahun 2021 menerusi 11 majalah termasuklah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Dewan Kosmik, Dewan Ekonomi, Tunas Cipta dan Dewan Tamadun Islam.

Menurut Dr. Hazami, pembinaan istilah, kamus dan ensiklopedia adalah penting sebagai sumber data dan rujukan keilmuan, juga sebagai set data berkualiti bagi AI yang berkaitan dengan bahasa dan sastera Melayu.

DBP kini giat melaksanakan proses digitalisasi bahan fizikal dan memperluaskan pangkalan data digital, terutamanya bagi kamus-kamus bercetak. Penstrukturan data ini penting bagi memastikan usaha penandaan data (data tagging) berjalan lancar ke arah pembangunan sistem AI berasaskan bahasa Melayu.

Dr. Hazami turut menegaskan bahawa DBP bekerjasama rapat dengan penyelidik, pakar teknologi serta industri bagi memastikan kandungan bahasa Melayu digunakan secara strategik dan berkesan dalam sistem AI.

Bagaimanapun, cabaran besar adalah keperluan memperbanyak set data berkualiti tinggi dalam bahasa Melayu, selain memperkukuh penyelidikan linguistik dan penguatkuasaan dasar bahasa kebangsaan.

Potensi NLP untuk bahasa Melayu, menurut Dr. Hazami, bergantung pada pemahaman mendalam terhadap konteks, tatabahasa dan kosa kata uniknya. Jelas beliau, pembangunan sistem pengenalan suara, sintesis ucapan, terjemahan automatik, analisis sentimen dan dokumentasi dialek merupakan antara aplikasi penting dalam usaha memelihara dan mengembangkan warisan linguistik.

Yang turut hadir dalam program ini termasuklah Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail; Dekan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan UMK, YBhg. Profesor Madya Dr. Kamarulzaman Abdul Ghani; serta Pengarah Pusat Terjemahan dan Manuskrip UMK-ITBM, YBrs. Dr. Burhan Che Daud.

Sebagai rekod, program ini anjuran bersama oleh DBP Wilayah Timur dan Fakulti Bahasa dan Pembangunan Insan, UMK bagi membincangkan peranan teknologi dalam memperkasakan bahasa kebangsaan pada era digital yang disusuli oleh penyampaian empat kertas kerja.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi