Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTaiping − Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penguatkuasaan telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan (JPPBT) Bilangan 3/2025 bagi zon utara yang diadakan di Majlis Perbandaran Taiping, Perak, semalam sebagai inisiatif berterusan bagi memperluas penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, khususnya dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Mohd Fadzli bin Mohd Kenali. Keahlian mesyuarat terdiri daripada wakil pengurusan tertinggi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JKT, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), serta Datuk Bandar/Yang Dipertua dan Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan dari zon utara.

Mesyuarat JPPBT ini bertujuan menyampaikan keputusan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) dan keputusan Pengurusan Tertinggi penyelarasan tindakan pada peringkat PBT melalui Pihak Berkuasa Negeri (PBN), sekali gus membincangkan isu dan cadangan polisi serta inisiatif baharu bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan perbandaran PBT.
Dalam pertemuan ini, DBP menyampaikan maklumat tentang perkhidmatan pengesahan bahasa Melayu (DBP Sah Bahasa) dalam sesi pembentangan dari agensi.
Fokus utama pembentangan tersebut berkenaan dengan punca kuasa bagi penyemakan dan pengesahan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan dalam permohonan lesen kepada pihak PBT.
Skop penyemakan dan pengesahan ini turut merangkumi penggunaan bahasa Melayu dalam iklan bercetak dan elektronik, papan tanda, penamaan bangunan, kawasan perumahan, tempat awam dan jalan, serta penyemakan dokumen rasmi.
Antara cabaran yang sering dihadapi oleh petugas DBP Sah Bahasa dalam proses pengesahan penggunaan bahasa Melayu turut dikongsikan kepada ahli mesyuarat tersebut termasuklah perbezaan format permohonan PBT mengikut negeri, keperluan surat iringan selain sijil DBP Sah Bahasa yang perlu disertakan, serta isu berkaitan kuasa kelulusan akhir oleh pihak PBT.
Sebagai contoh, walaupun DBP telah mengesahkan sesuatu nama yang dikemukakan dalam permohonan penamaan, keputusan muktamad untuk menerima atau menolak nama tersebut tetap terletak di bawah bidang kuasa PBT. Selain itu, isu pemalsuan sijil DBP Sah Bahasa oleh pelanggan turut diketengahkan untuk makluman pihak PBT.
Selain DBP, terdapat tiga agensi lain yang turut diundang sebagai pembentang dalam mesyuarat tersebut, iaitu URBANICE Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sesi libat urus bersama-sama rakan sinergi utama seperti ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa kerana inisiatif sebegini bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama, malah menjadi pemangkin dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di tempat awam. Kerjasama strategik antara JPPBT dengan agensi berkaitan diharapkan dapat terus menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan masyarakat.