Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Bual Bicara Robotik Bahasa Jiwa Bangsa anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi satu lagi tarikan pengunjung reruai DBP di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, kelmarin.

Program bual bicara ini mengetengahkan tentang program kerjasama antara DBP dengan rakan sinergi berteraskan alih wahana bahan sastera ke dalam pertandingan robotik. Forum ini diadakan susulan daripada penganjuran Pertandingan Robotik Bahasa Jiwa Bangsa pada 2 November 2024 hingga 3 November 2024 oleh DBP dan World of Robotics Sdn. Bhd. (WOR).

Pertandingan robotik yang mempunyai elemen bahasa dan sastera merupakan satu konsep penganjuran yang sangat berguna kepada peserta kerana dapat mempelajari bahasa dan juga robotik pada masa yang sama. – Puan Michelle Choo.

Dalam forum tersebut, DBP diwakili oleh Pegawai Perancang Bahasa, Encik Mohd Hafizi bin Ahmad, manakala syarikat WOR diwakili oleh Puan Michelle Choo yang merupakan pengarah projek bagi pertandingan tersebut.

Encik Mohd Hafizi bin Ahmad.

Menurut Encik Mohd Hafizi, pertandingan ini merupakan projek rintis di bawah kategori program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilaksanakan oleh DBP.  Uniknya pertandingan ini terletak pada penggabungan elemen bahasa dan pengaturcaraan robotik yang melibatkan murid sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej vokasional. Peribahasa dan simpulan bahasa dalam bahasa Melayu dijadikan tema bagi pertandingan tersebut.

Puan Michelle Choo.

Menurut Puan Michelle,

Pertandingan robotik bukanlah perkara baharu di Malaysia, namun untuk pertandingan robotik yang mempunyai elemen bahasa dan sastera merupakan satu konsep penganjuran yang sangat berguna kepada peserta kerana dapat mempelajari bahasa dan juga robotik pada masa yang sama.

Pertandingan Robotik Bahasa Jiwa Bangsa edisi pertama telah mencatatkan penyertaan sebanyak 141 orang peserta dan pada tahun ini penganjur akan membuat penambahbaikan dari segi konsep dan juga jumlah penyertaan. Pertandingan robotik 2.0  dijangka akan diadakan pada bulan September 2025.

Yang turut hadir dalam sesi ini termasuklah Pengarah Urusan Syarikat World of Robotics Sdn. Bhd., Encik Lee Yew Kein dan Timbalan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Huznah binti Sa’it.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi