Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Paluan gong bergema, bersahut dengan bait-bait pantun yang merdu dan penuh makna — begitulah simbolik pembukaan Pesta Pantun HAWANA bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Dewan BERNAMA, Wisma BERNAMA. Dalam kepesatan dunia media yang semakin dipacu oleh teknologi dan kelajuan maklumat, pantun yang merupakan warisan seni sastera tradisional kembali diperkasakan menerusi sambutan HAWANA 2025 dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
HAWANA pada tahun ini bukan sekadar menghargai jasa pengamal media tetapi menjadi platform sinergi antara kebudayaan dengan kewartawanan. Pesta Pantun HAWANA membuktikan bahawa dalam hiruk-pikuk mengejar fakta dan berita terkini, bahasa indah dan seni kata tetap relevan sebagai medium komunikasi yang bijaksana, beretika dan menyentuh jiwa. Menampilkan tiga tema utama, iaitu Perpaduan, Kewartawanan dan Bebas, para pemantun berjaya merealisasikan Pesta Pantun HAWANA-DBP ini dengan karisma berpantun yang membanggakan.
Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera mewakili Ketua Pengarah DBP, Encik Abang Haliman bin Abang Julai dalam ucapan perasmiannya berharap pengalaman para pengamal media melalui pesta pantun ini akan dapat meningkatkan kemahiran berbahasa, berfikir secara kreatif, cekap dan pantas dalam memperkasakan lagi sumber berita dan menyerlahkan kewibawaan para wartawan dalam menganalisis, menulis dan menyampaikan berita.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, YBhg. Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, menyampaikan dedikasi tahniah kepada para pengamal media yang berpeluang menyertai pesta pantun yang julung kali diadakan ini. Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan strategik dalam melaksanakan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 yang dianjurkan oleh BERNAMA.
Melalui pesta pantun ini, warisan seni budaya pantun dapat dilestarikan dalam kalangan media dan seterusnya memartabatkan warisan seni berpantun kepada masyarakat seluruhnya.
Keputusan bagi penyandang Johan dan Naib Johan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 akan diumumkan pada 14 Jun 2025 dalam Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dua kumpulan yang berjaya mara ke peringkat akhir ialah kumpulan dari Astro Radio News yang diwakili oleh Muhammad Najib bin Md Nazri, Nurul Izzati Amir Zaimi, Juhaiza Laili Hamzah dan Fariz Munir Hasbunallah serta kumpulan Jabatan Pengisian Islam, TV3 yang menampilkan Ahmad Fedtri bin Yahya, Mohammad Nor Affiq Norshamsuddin, Azrin Md Isa dan Nurul Shazalina Zainuddin sebagai pemantun.
Anugerah Busana Terbaik Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 berjaya diungguli oleh pemantun dari Jabatan Pengisian Islam TV3, manakala Pemantun Terbaik pula disandang oleh Nurul Amilin binti Idrus dari RTM. Tempat ketiga Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 menjadi milik pemantun dari RTM dan tempat keempat dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Program yang dicetuskan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari ini telah disertai oleh 32 orang pemantun yang mewakili lapan organisasi media negara iaitu, TV3, RTM, Media Prima, MalaysiaGazette, BERNAMA, JAKIM, Sinar Harian dan Astro Radio News. Turut hadir menyerikan lagi Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 ialah Ketua Pengarang BERNAMA, Encik Arul Rajoo.