Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 3 Jun 2025, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa Melayu harus dimartabatkan sebagai teras utama dalam pembinaan peradaban ketamadunan bangsa Melayu yang perlu dipupuk sejak kecil agar dapat melahirkan generasi yang beradab.

Demikian menurut YBhg. Dato’ A Aziz Deraman, Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam sesi Bicara Buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I hingga Siri III yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Sesi bicara buku ini menampilkan YBhg. Dato’ A Aziz Deraman dan YBhg. Prof. Dr. Hashim Ismail sebagai panel, manakala Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus bertindak sebagai moderator.

Dalam ucapannya, DBP memainkan peranan penting dalam memelihara, memartabat dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“DBP merupakan institusi badan kebahasaan yang memelihara, mengembangkan dan memperkukuh bahasa Melayu. Sebagai warga DBP, kita harus mempunyai tanggungjawab dan komitmen yang tinggi untuk memartabatkan nilai ketamadunan bangsa melalui penggunaan bahasa Melayu,” tegasnya.

Sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah DBP dari 1994 hingga 2004, YBhg. Dato’ A Aziz Deraman bukan sahaja menumpukan usaha terhadap pembangunan bahasa dan sastera, malah turut berperanan penting dalam merintis dialog wacana yang merentas sempadan politik dan budaya.

Antara inisiatif yang paling berani dan bersejarah sewaktu kepimpinannya ialah penganjuran Wacana Kepimpinan Politik Malaysia yang mempertemukan beberapa tokoh besar negara termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan wakil tertinggi Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kita percaya bahawa tamadun bangsa tidak dibina melalui pertentangan tetapi melalui dialog beradab yang menjunjung nilai ilmu dan adab Melayu seperti politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan yang merupakan sebahagian daripada pembinaan peradaban.

Pada masa yang sama, beliau juga menyarankan agar kesinambungan kepimpinan DBP berasaskan visi kebangsaan dan semangat perjuangan bahasa yang berterusan merentasi zaman.

“Kepimpinan DBP tidak boleh bersifat reaktif atau bersandar kepada dasar semasa semata-mata. Kepimpinan tersebut mesti menjadi kesinambungan nyala api perjuangan, menyambung bara semangat, idealisme dan cita-cita besar untuk membina bangsa dan tamadun melalui bahasa dan budaya. Api dari suatu zaman dan semangat obor nan abadi jangan dipadam,” tegas beliau.

YBhg. Dato’  A Aziz Deraman dalam sesi Bicara Buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I hingga Siri III.

Sementara itu, YBhg. Dr. Hashim Ismail menekankan empat perkara yang dibawa oleh YBhg. Dato’ A Aziz Deraman dalam buku siri tiga, iaitu Wadah Bahasa Melayu Asas Pembinaan Tamadun, Wadah Sastera  Cerminan Akal Budi, Wadah Budaya Teras Jati Diri dan Wadah Pengurusan dan Pentadbiran DBP.

Dalam sesi tersebut, beliau menyifatkan bahawa YBhg. Dato’ A Aziz Deraman sebagai tokoh yang membawa imej perubahan yang signifikan kepada DBP.

“YBhg. Dato’ A Aziz Deraman bukan sahaja memperkukuh peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu dan kesusasteraan tetapi juga berjaya memperkenalkan pendekatan yang lebih dinamik dan progresif dalam organisasi tersebut sepanjang beliau berkhidmat di DBP”, jelasnya.

Ulasan YBrs. Dr. Hashim Ismail  terhadap buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I hingga Siri III turut menyentuh tentang pelbagai cabaran yang ditempuh dalam mengharungi liku dan kepayahan perjalanannya sejak penubuhan institusi terulung ini.

Buku tersebut juga menyelitkan beberapa gerakan penting yang telah dilaksanakan oleh YBhg. Dato’ A Aziz Deraman.

Satu daripada sumbangan beliau termasuklah penubuhan DBP Wilayah Timur (DBPWT) yang berpusat di Kota Bharu, Kelantan. Inisiatif ini bertujuan memperkasakan pengembangan bahasa dan sastera di wilayah Pantai Timur Malaysia serta kawasan selatan Thailand.

Seterusnya, di bawah kepimpinannya, DBP telah melaksanakan pelbagai program latihan, bengkel dan kursus yang bertujuan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai sektor termasuklah pendidikan, media dan korporat.

Beliau juga merancang untuk memperluas jaringan kerjasama DBP dengan institusi bahasa dan kebudayaan serantau melalui MABBIM (Majlis Bahasa Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia) dan juga menjalinkan kerjasama dengan badan-badan kebahasaan antarabangsa bagi memastikan bahasa Melayu terus relevan dalam era globalisasi.

Panel, YBhg. Prof. Dr. Hashim Ismail berkongsi pandangan dan pemikiran YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman dalam Buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I hingga Siri III.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ini termasuklah  YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP; YBrs. Tuan Haji Johari Md. Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP; SN Dato’ Rahman Shaari, Ketua-ketua Jabatan, karyawan DBP serta pengunjung yang hadir memeriahkan reruai DBP bersempena dengan PBAKL 2025.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi