Diterbitkan pada 5 Jun 2025, 13:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sabah – Pertandingan Syarahan Tribahasa SMPC Sabah ke-44 bagi tahun 2025 membuka tirai dengan sesi Pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan intelektual.

Bagi Kategori Menengah Rendah, Tam Jun Fai dari SM Tshung Tsin, Tenom muncul johan, diikuti Jananni Thanesh Kumar dari SM Tshung Tsin, Sabah sebagai naib johan, dan Garnet Gabriel Ravindran dari SM Pei Tsin, Kudat di tempat ketiga.

Dalam Kategori Menengah Atas, kejuaraan dirangkul oleh Wong Hao Phin, juga dari SM Tshung Tsin, Tenom. Ray Chin Rui dari SM Yu Yuan, Sandakan meraih naib johan, manakala Chai Wei Hua dari SM Persendirian Beaufort menduduki tempat ketiga.

Pertandingan Syarahan Tribahasa Antara Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Sabah merupakan acara tahunan berprestij yang terus mewarnai landskap pendidikan swasta Cina di negeri di bawah bayu.

Diperkenalkan sejak awal tahun 1980-an, pertandingan ini bukan sekadar wadah untuk mengasah kecekapan bertutur dalam tiga bahasa utama, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina, malah merupakan wahana perpaduan, semangat juang, serta pemartabatan warisan pendidikan masyarakat Cina di Sabah.

Edisi ke-44 tahun 2025 menyaksikan penyertaan aktif semua sekolah menengah persendirian Cina di Sabah, dengan sokongan padu daripada guru, alumni dan komuniti setempat. Edisi ini diterajui oleh Gabungan Persatuan Alumni SMPC Sabah, manakala pengelolaan sepenuhnya digalas oleh Persatuan Alumni Sekolah Menengah Tshung Tsin, Tenom.

Usai Pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia yang berlangsung pada sesi pagi, majlis perasmian dimulakan dengan ucapan penuh inspirasi oleh Yang Berusaha (YBrs.) Puan Sharon Chong Bit Nyuk, selaku Pengerusi Gabungan Persatuan Alumni Sekolah Persendirian Cina Sabah. Majlis perasmian pula telah disempurnakan oleh Encik Chin Su Fook yang mewakili Yang Berhormat Datuk Lo Su Fui, JP, Ahli Parlimen P.190 Tawau.

Acara perasmian pertandingan disempurnakan dengan paluan gendang yang diketuai oleh YBrs. Puan Sharon Chong Bit Nyuk, Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah Persendirian Cina Sabah sebagai simbolik pelancaran rasmi majlis.

Usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda terus diperjuangkan dengan penuh komitmen oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Dalam satu majlis yang sama, DBP Sabah telah menyumbangkan sebanyak 85 buah buku kepada Sekolah Menengah Tshung Tsin.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah 1, DBP Cawangan Sabah, YBrs. Puan Julianah Kuli. Buku tersebut diserahkan secara rasmi kepada Pengetua Sekolah Menengah Tshung Tsin Tenom, Encik Teo Chee Jiat, dan turut disaksikan oleh barisan Ahli Lembaga Pengelola Sekolah, termasuk tokoh pendidikan setempat.

Dari kiri: En. Chong Neng Choon, En. Chew Vui Kiong, En. Chong Ten Su (Ahli Lembaga Pengelola Sekolah), Pn. Julianah Kuli (Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah), En. Teo Chee Jiat (Pengetua SM Tshung Tsin Tenom), En. Chin Su Fook (Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah), dan Pn. Tai Len Chu (Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah) semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Buku oleh DBP Cawangan Sabah kepada SM Tshung Tsin Tenom.

Sesi kedua Pertandingan Syarahan Tribahasa SMPC Sabah ke-44 menyaksikan pelajar-pelajar bersaing dalam Pertandingan Syarahan Bahasa Inggeris yang mempamerkan kecekapan berbahasa dan kematangan berhujah.

Bagi Kategori Menengah Rendah, Jananni Thanesh Kumar dari SM Tshung Tsin, Sabah muncul johan, diikuti oleh Lim Leyca dari SM Cina Sabah, Tawau sebagai naib johan, dan Ezra Yong Chen En dari SM Persendirian Beaufort di tempat ketiga.

Dalam Kategori Menengah Atas, Jasper Julian Ravindran dari SM Tinggi Pei Tsin, Kudat dinobatkan sebagai johan. Chai Wei Hua dari SM Persendirian Beaufort meraih naib johan, manakala Neville Ng Yi Heng dari SM Tshung Tsin, Sabah menduduki tempat ketiga.

Sesi petang Pertandingan Syarahan Tribahasa SMPC Sabah ke-44 diteruskan dengan Pertandingan Syarahan Spontan Bahasa Cina, yang menguji kebolehan pelajar berfikir dan berhujah secara pantas dan berkesan.

Dalam Kategori Menengah Rendah, Jananni Thanesh Kumar dari SM Tshung Tsin, Sabah terus menyerlah apabila dinobatkan sebagai johan. Voo Jing Ying dari SM Yu Yuan, Sandakan meraih tempat kedua, manakala Lim Leyca dari SM Cina Sabah, Tawau di tempat ketiga.

Bagi Kategori Menengah Atas, Nelson Sia Chang Seng dari SM Papar dinobatkan sebagai johan. Ray Chin Rui dari SM Yu Yuan, Sandakan meraih  naib johan, diikuti Levina Lim Ler Xuan dari SM Cina Sabah, Tawau di tempat ketiga.

Pertandingan Syarahan Tiga Bahasa 2025 melabuhkan tirainya dengan pengumuman johan keseluruhan berdasarkan prestasi cemerlang dalam ketiga-tiga bahasa iaitu bahasa Cina, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Penilaian keseluruhan ini mengambil kira jumlah markah terkumpul dalam setiap kategori bahasa, sekaligus menonjolkan pelajar yang benar-benar menyerlah dalam keupayaan berbahasa secara menyeluruh.

Bagi kategori Menengah Rendah, Jananni Thanesh Kumar dari Sekolah Menengah Tshung Tsin, Sabah dinobatkan sebagai johan keseluruhan, setelah berjaya meraih tempat pertama dalam Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris, serta tempat kedua dalam Bahasa Malaysia. Lim Leyca dari Sekolah Menengah Cina Sabah, Tawau pula meraih gelaran naib johan keseluruhan setelah menduduki tempat ketiga dalam Bahasa Cina, keempat dalam Bahasa Malaysia dan kedua dalam Bahasa Inggeris. Manakala, Tam Jun Fai dari Sekolah Menengah Tshung Tsin, Tenom, memperoleh kedudukan ketiga keseluruhan dengan pencapaian cemerlang, termasuk tempat pertama dalam Bahasa Malaysia, keempat dalam Bahasa Inggeris dan ketujuh dalam Bahasa Cina.

Dalam kategori Menengah Atas, Ray Chin Rui dari Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan muncul sebagai johan keseluruhan dengan prestasi mantap iaitu tempat kedua dalam bahasa Cina dan bahasa Malaysia, serta tempat kelima dalam bahasa Inggeris. Chai Wei Hua dari Sekolah Menengah Persendirian Beaufort dinobatkan sebagai naib johan keseluruhan setelah meraih tempat keempat dalam bahasa Cina, ketiga dalam bahasa Malaysia dan kedua dalam bahasa Inggeris. Sementara itu, Levina Lim Ler Xuan dari Sekolah Menengah Cina Sabah, Tawau, dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga keseluruhan, dengan pencapaian tempat ketiga dalam bahasa Cina, kelima dalam bahasa Malaysia dan keempat dalam bahasa Inggeris.

Piala Pusingan Pertandingan diserahkan kepada Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu yang akan meneruskan amanah selaku penganjur pertandingan pada tahun 2026. Sebagai penutup, majlis makan malam telah diadakan dalam suasana penuh harmoni dengan seni budaya. Majlis makan malam tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Au Kam Wah, Pengerusi Kumpulan Jawatankuasa Sekolah Menengah Persendirian Cina Sabah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi