Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 11 Jun 2025, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan Debat Piala Menteri KESUMA 2025 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) serta beberapa rakan strategik lain memperlihatkan peranannya sebagai medan ampuh yang membuka peluang kepada belia untuk mengasah bakat kepimpinan dan meningkatkan keterampilan diri pada peringkat nasional.

Ketua Pegawai Pelanggan, HRD Corp, Yang Berusaha (YBrs.) Puan Wan Yon Shahima Wan Othman yang juga selaku Pengerusi Debat Piala Menteri KESUMA 2025 berkata, acara seumpama ini bukan sekadar melahirkan pemimpin masa hadapan negara, bahkan pemimpin pada peringkat ASEAN yang bersedia untuk mewarnai pentas antarabangsa.

Ketua Pegawai Pelanggan, HRD Corp, YBrs. Puan Wan Yon Shahima Wan Othman ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

“Suara anak muda tidak seharusnya terhad dalam negara semata-mata, sebaliknya perlu bergema di rantau ini dan juga pada peringkat global,” katanya ketika merasmikan Debat Piala Menteri KESUMA 2025 Peringkat Akhir di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP semalam.

Menurut beliau, pertandingan ini telah berkembang menjadi satu wadah yang unggul dalam usaha membina generasi pelapis yang berdaya tahan dan berfikiran kritis.

“Objektif penganjuran debat ini adalah untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia dengan memberikan fokus kepada golongan pelajar sebagai penyokong agenda pembangunan modal insan, selain melengkapkan bakat negara dengan kemahiran dan pengetahuan masa hadapan.

“Di sinilah letaknya asas pembentukan generasi pelapis yang bukan sahaja bijak berfikir, tetapi juga berani menyuarakan pandangan dan idea secara berhemah,” jelasnya.

Selain itu, beliau menzahirkan harapan agar pertandingan tersebut terus menjadi pemangkin kepada usaha kolektif dalam memupuk solidariti, keterangkuman dan kecemerlangan insan sejajar dengan tema Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) pada tahun ini, iaitu “Pembelajaran Tanpa Sempadan”.

Gelagat para pendebat ketika pertandingan Debat Piala Menteri KESUMA 2025 Peringkat Akhir bagi kategori bahasa Melayu.

Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa pertandingan debat tersebut bukan sekadar gelanggang untuk menentukan sesebuah pasukan sama ada menang atau kalah, tetapi medan intelektual yang menguji ketajaman fikiran dan kecekapan komunikasi.

Ujar beliau, inisiatif pertandingan itu hasil kolaborasi rakan-rakan penganjur yang komited memastikan matlamat penganjurannya tercapai, terutama dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu menerusi pengucapan awam.

Tambah beliau lagi, pertandingan debat yang diadakan juga secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada pengisian kegiatan bagi Sambutan Ulang Tahun DBP ke-69, yang diraikan pada 22 Jun setiap tahun.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Berdasarkan rekod, Debat Piala Menteri KESUMA bersempena dengan NTW telah memasuki kali ketiga penganjurannya pada tahun ini dan merupakan kesinambungan daripada edisi sulungnya yang bermula pada tahun 2023.

Pada tahun ini, sebanyak 16 pasukan telah bersaing dalam dua kategori bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan tajuk perbahasan yang berfokuskan kepada tema utama NTW 2025, iaitu “Pembelajaran Tanpa Sempadan”.

Pertandingan debat tersebut menyaksikan empat pasukan telah mara ke pentas akhir, iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman dan Sekolah Sultan Alam Shah dalam acara debat bahasa Melayu, manakala Sekolah Sultan Alam Shah dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang bagi kategori debat bahasa Inggeris.

Yang turut hadir menyerikan majlis perasmian tersebut termasuklah Pengarah Pusat Debat dan Orator Sedunia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBrs. Dr. Mazlena Mohd Hussain; Ketua Jabatan, Sekolah Pengajian Am dan Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi, Universiti Taylor Subang Jaya, YBrs. Puan Norshahila Mohamad Razak; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid dan Kepimpinan, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Puan Roslina Abd Aziz serta Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan HRD Corp, YBrs. Puan Mimi Saifura Abdul Wahab.

Barisan juri pertandingan Debat Piala Menteri KESUMA 2025 Peringkat Akhir bagi kategori bahasa Melayu.
Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi