Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 11 Jun 2025, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) membuktikan keunggulan apabila meraih kemenangan berganda dalam Pertandingan Debat Piala Menteri KESUMA 2025 selepas dinobatkan sebagai juara bagi kedua-dua kategori  utama, iaitu kategori Debat Bahasa Melayu dan Debat Bahasa Inggeris.

Pertandingan Debat Piala Menteri KESUMA 2025 ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Perbadanan  Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corporation) yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, petang semalam.

Akmal Haiqal Mohd Zulkarnain dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) diangkat sebagai Pendebat Terbaik Bahasa Melayu.

Dalam kategori Debat Bahasa Melayu, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Sekolah Tuanku Abdul Rahman selaku naib johan. Tempat ketiga dimenangi oleh Maktab Tentera Diraja diikuti tempat keempat dimenangi oleh Sekolah Seri Puteri.Kejayaan ini juga dengan dilengkapkan dengan pengiktirafan individu oleh Akmal Haiqal Mohd Zulkarnain dari STAR sebagai Pendebat Terbaik Bahasa Melayu.

Adam Rayyan Abdul Azim dari Sekolah Sultan Alam Shah diikitiraf sebagai Pendebat Terbaik Bahasa Inggeris.

Sementara itu, dalam kategori Debat Bahasa Inggeris pula, pasukan SAS sekali lagi bangkit menewaskan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang pada peringkat akhir sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Tuanku Abdul Rahman dan diikuti tempat keempat dimenangi oleh Kolej Tunku Kurshiah. Majlis juga diserikan lagi dengan pengiktirafan individu oleh Adam Rayyan Abdul Azim dari  SAS sebagai Pendebat Terbaik Bahasa Inggeris.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Pelanggan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corporation), Yang Berusaha (YBrs.) Puan Wan Yon Shahima Wan Othman dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi  penghargaan kepada pihak penganjur yang telah melaksanakan pertandingan Debat Piala Menteri KESUMA 2025 dengan cemerlang.

Pertandingan Debat Piala Menteri KESUMA 2025 ini telah melakar sejarah baharu buat julung kalinya memperkenalkan konsep ‘juara antara juara’ menjadikan edisi kali ini lebih signifikan dan berprestij

Pasukan sekolah yang bertanding pada tahun ini adalah bekas juara Piala Perdana Menteri  pada 10 tahun yang lalu.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pertandingan debat seumpama ini tidak akan lengkap tanpa kehadiran pendebat muda yang berani menongkah arus dan tampil ke hadapan sebagai suara masa depan negara.

Katanya,

“Golongan muda inilah yang harus digilap sebagai pemimpin masa hadapan kerana mereka bukan sahaja memiliki keberanian intelektual, tetapi juga keupayaan untuk mengemukakan idea yang bernas dan segar demi membina kemajuan negara.”

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi platform perdebatan berprestij, iaitu Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri akan dianjurkan pada bulan Julai ini sebagai usaha berterusan bagi mengasah bakat dan potensi anak muda dalam bidang kepimpinan, pemikiran kritis serta pengucapan awam.

Ketua Pegawai Pelanggan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corporation), YBrs. Puan Wan Yon Shahima Wan Othman ketika menyampaikan ucapan dalam majlis penutupan Pertandingan Debat Piala Menteri KESUMA 2025 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, petang semalam.

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid dan Kepimpinan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs. Puan Roslina Abdul Aziz; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry; Ketua Jabatan Perhubungan  Pelanggan, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corporation), YBrs.  Puan Mimi Saifura; dan Pengarah International Islamic University Malaysia (IIUM) World Debate and Oratory Centre (IWON), YBrs. Dr. Mazlena Mohd Hussin.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi