Diterbitkan pada 11 Jun 2025, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan Pantun Piala Menteri Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) 2025 bukan sekadar medan perdebatan seni kata, tetapi juga platform membina kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan semangat cintakan warisan bangsa.

Menurut Ketua Setiausaha KESUMA, Yang Berbahagian (YBhg.) Datuk Azman bin Mohd Yusof, pertandingan seumpama ini penting bagi melatih mahasiswa menghadapi alam kerjaya dengan lebih yakin, berbekalkan kemahiran memahami hubungan interpersonal serta ilmu yang diperoleh daripada rakan pemantun.

“Pantun bukan sahaja mencerminkan keindahan bahasa, malah pantun juga mengajar kita berbicara dengan berhemah, mendengar dengan teliti dan membalas dengan bijaksana. Hal ini adalah nilai yang penting dalam dunia profesional,” katanya sebelum merasmikan pertandingan tersebut yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) petang tadi.

Menyambut kata-kata Ketua Setiausaha KESUMA, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Abang Haliman bin Abang Julai berkata, pertandingan pantun ini bukan sekadar menguji siapa paling bijaksana dan kreatif dalam berjual beli pantun, tapi merupakan gelanggang untuk mengasah minda, menyemai nilai murni dan menyambung warisan nenek moyang kita yang begitu kaya dengan keindahan bahasa dan mencerminkan akal budi Melayu. 

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai.

“Saya berharap pertandingan pantun ini dapat membangkitkan semangat generasi muda untuk terus mencintai dan melestarikan sastera lisan yang kaya dengan nilai dan kebijaksanaan,” ujar beliau.

“DBP akan sentiasa menyokong usaha pelaksanaan program bahasa dan sastera oleh pihak luar, terutama melalui kerjasama dengan DBP. Hal ini bertepatan dengan fungsi dan matlamat utama DBP, iaitu untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menyemarakkan sastera kebangsaan di negara ini,” tambah beliau lagi.

Sebanyak tujuh institusi pengajian tinggi telah menyertai pertandingan ini, iaitu Universiti Malaya(UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIAM) dan Management and Science University (MSU). 

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Ketua Pegawai Pelanggan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Puan Wan Yon Shahima binti Wan Othman; Ketua Pegawai Program HRD Corp, Encik Soffian bin Mohammed Amin dan Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry

Program ini diadakan bersempena dengan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang berlangsung dari 14 hingga 21 Jun 2025 serta pengisian Sambutan Ulang Tahun Dewan DBP ke-69 yang bakal diadakan pada 22 Jun.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi