Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul sebagai juara dalam Pertandingan Akhir Pantun Piala Menteri Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) 2025 dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3000.00.
Pasukan UIAM diwakili oleh Muhammad Zakiy Najdee Shahirul, Nisa Madihah Nazzri, Muhammad ‘Aqil Mujahid Mukhtar dan Nur Aleya Firzana Shahipol.
Manakala naib juara disandang oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) 1 dan tempat ketiga dirangkul oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1500.00 dan RM1000.00. Tempat keempat disandang oleh pasukan dari UiTM 2.
Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah yang disokong oleh KESUMA bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN, Pertandingan Pantun Piala Menteri KESUMA 2025 diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, semalam.
Terdahulu, pertandingan ini telah dilaksanakan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai tuan rumah bagi peringkat saringan.

Dalam pertandingan akhir tersebut, Muhammad ‘Aqil Mujahid Mukhtar, pemantun ketiga dari UIAM telah dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik, manakala Anugerah Busana Terbaik Akhir dan Anugerah Busana Terbaik Saringan dimenangi oleh UiTM 2 dan UniKL.
Semasa pentas akhir tersebut, terdapat tiga tema yang dipertandingkan, iaitu “Pendidikan Sepanjang Hayat”, “Budi Bahasa Budaya Kita” dan “Penerapan Tujuh Teras Malaysia Madani”.
Tampil untuk menilai pertandingan akhir antara UIAM dengan UiTM 1 tersebut ialah barisan jauhari hebat dari DBP, iaitu YBrs. Dr. Faezah binti Muhayat, Puan Noraini binti Abd Shukor, Encik Azimin bin Daud, Encik Amran bin Daud dan Encik Muhammad Affan bin Mohd Yunus.

Yang turut hadir semasa pertandingan ini termasuklah Ketua Setiausaha KESUMA, YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusuf, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai dan Ketua Pegawai Pelanggan HRD Corp merangkap Pengerusi Pertandingan Pantun Piala Menteri KESUMA 2025, YBrs. Puan Wan Yon Shahima Wan Othman.