Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 14 Jun 2025, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya — Beberapa premis perniagaan di sekitar Dataran Sunway, Kota Damansara telah dikenakan tindakan, susulan pemeriksaan bersepadu oleh pihak berkuasa malam tadi atas kesalahan berkaitan dengan pematuhan visual iklan dan penggunaan dokumen yang tidak sah.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuklah pemalsuan dokumen, penggunaan visual iklan yang tidak diluluskan serta pengoperasian tanpa lesen sah mengikut Undang-undang Kecil (UUK) Iklan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2007, Bahagian II, UUK 3 dan 4.

Bagi menangani pelanggaran bahasa yang semakin berleluasa ini, MBPJ dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menjalankan operasi bersepadu pemeriksaan visual iklan dan dokumen perniagaan yang diketuai oleh Datuk Bandar MBPJ, YBrs. Tuan Haji Mohamad Zahri Samingon dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai.

Menurut YBrs. Tuan Haji Mohamad Zahri, ini merupakan operasi pertama yang dijalankan secara besar-besaran, walaupun sebelum ini telah diadakan beberapa siri operasi berskala kecil.

“Operasi malam ini dijalankan susulan maklumat yang dikenal pasti oleh DBP mengenai penipuan, apabila paparan di premis tidak selaras dengan kelulusan yang diberikan, selain pengoperasian tanpa lesen yang sah,” ujar beliau sebelum operasi dimulakan.

Pihak MBPJ menegaskan bahawa teguran dan tindakan penguatkuasaan lanjut akan dikenakan terhadap semua premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Operasi ini melibatkan pasukan daripada empat kakitangan Bahagian Penguatkuasaan DBP serta 30 kakitangan Jabatan Penguatkuasaan MBPJ, Jabatan Kesihatan MBPJ, Jabatan Kawalan Bangunan MBPJ dan Jabatan Perlesenan MBPJ, dengan tujuan untuk memastikan semua premis di bawah pentadbiran MBPJ mematuhi syarat kelulusan iklan serta penggunaan dokumen sah yang ditetapkan pihak berkuasa.

Antara syarikat yang telah didapati melakukan pemalsuan dokumen visual iklan.
Syarikat yang didapati memaparkan visual iklan yang berbeza daripada versi yang telah diluluskan oleh MBPJ.

Sebuah restoran dikenakan tindakan selepas didapati tidak memiliki lesen sah walaupun premis tersebut mempunyai lesen sementara hingga 26 Mei 2025.

Turut tersenarai termasuklah premis penyediaan makanan segera. Kedua-dua premis ini memaparkan visual iklan yang tidak menepati spesifikasi kelulusan MBPJ.

Mereka dikesan melakukan kesalahan yang sama, apabila memaparkan visual iklan tanpa kelulusan walaupun memiliki lesen sementara yang sah hingga Julai 2025.

Turut hadir dalam operasi berkenaan ialah Pengarah Pelesenan MBPJ, YBrs. Puan Hajah Sharinaz Samsudin serta Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, YBrs. Encik Rahimi Arifin.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi