Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 26 Jun 2025, 23:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengorak langkah dalam usaha memperluas pendedahan mengenai Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) kepada para penggiat industri penerbitan di Sabah menerusi penganjuran program taklimat yang berlangsung di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah pada pagi tadi.

Program yang mempromosikan inisiatif berkenaan berjaya menghimpunkan sebanyak 20 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai pihak seperti penerbit swasta, persatuan dan penulis.

Menerusi sesi taklimat yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan DBP, YBrs. Puan Sylee Riza Ariff memberikan pendedahan tentang peluang yang ditawarkan daripada pembiayaan dana tersebut kepada pemohon berkelayakan dan pencerahan terhadap isu berkaitan dengannya serta tatacara terkini permohonannya.

Puan Rasimi Linggang.

Sementara itu, wartawan JendelaDBP turut berpeluang menemu bual seorang peserta, iaitu Puan Rasimi Linggang yang merupakan seorang penulis novel menyatakan bahawa keterujaan beliau tatkala mengetahui dana ini yang membuka perspektif baharu untuk mengembangkan penerbitan karya beliau.

“Melalui taklimat ini, saya menyedari bahawa saya boleh membina jaringan kerjasama yang baik dengan syarikat penerbit lain untuk menerbitkan penulisan saya.

“Pada masa yang sama, program ini juga sebenarnya telah membantu saya untuk berada pada landasan yang betul kerana saya berkesempatan bertemu dan berinteraksi secara tidak langsung dengan syarikat penerbit yang turut serta,” ujar beliau

Encik Aqwa Idrus

Selain itu, seorang wakil daripada sebuah syarikat penerbit swasta, Encik Aqwa Idrus turut senada menyatakan bahawa program berkenaan dianggap sebagai platform yang terbaik untuk mendapatkan maklumat terkini, khususnya dalam usaha memperkasakan syarikat penerbitan tempatan, selain menyokong bakat penulis.

Malah, beliau kini berada dalam sebuah syarikat penerbitan yang mula melebarkan sayapnya di Sabah dan mempunyai sasaran untuk membuka rumah penerbitan sendiri yang berfokuskan penulis dari Sarawak dan Sabah secara khusus.

“Kami sebenarnya telah menemui banyak penulis dari Sabah yang berhasrat untuk menerbitkan buku, namun mereka menghadapi kesukaran kerana tidak menemui platform yang sesuai untuk menerbitkan karya mereka.

“Kami sebagai penerbit boleh membentuk pasukan yang berperanan sebagai perantara kepada DBP untuk membantu dan menggalakkan lebih ramai penulis dari Sabah dan Sarawak terlibat secara aktif dalam penerbitan karya bermutu,” jelasnya.

Sebagai rekod, program tersebut merupakan satu daripada pengisian yang dilaksanakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-69 pada tahun ini di Sabah selaku tuan rumah.

Dana PIBN merupakan sebuah inisiatif peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Malaysia menerusi DBP yang bertujuan untuk membantu penerbit, penulis dan persatuan menerbitkan karya berkualiti, sekali gus memperkembang industri perbukuan negara.

Sejak dana itu diperkenalkan pada tahun 2007, sebanyak 771 judul buku berbahasa Melayu berjaya diterbitkan dengan melibatkan jumlah keseluruhan hampir RM7 juta, termasuk kelulusan pembiayaannya bagi 80 judul buku dengan nilai kira-kira RM600,000 bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Barisan peserta yang hadir dalam Taklimat Dana PIBN di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah.
Kredit Foto: Hafizee Affiq (DBP Sabah)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi