Diterbitkan pada 5 Julai 2025, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bachok – “Selepas 69 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan, kita sebenarnya tidak menghadapi masalah besar dari segi penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan kerana perundangan yang sedia ada sudah mencukupi,” kata Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari ketika merasmikan program Perkampungan Penulis Wilayah Timur di Sudara Beach Resort, semalam.

YBrs. Dr. Hazami bin Jahari semasa menyampaikam ucapan perasmian semasa program Perkampungan Penulis Wilayah Timur.

YBrs. Dr. Hazami bin Jahari berkata bahawa tiada keperluan mendesak untuk meminda Akta DBP 1959 secara besar-besaran kerana pekeliling kerajaan telah memperkukuh kewajipan penggunaan bahasa yang baik dan betul pada semua peringkat perkhidmatan awam.

Jelas beliau, penguatkuasaan bahasa Melayu sudah lama termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf bahasa itu sebagai bahasa rasmi negara.

Menurut YBrs. Dr. Hazami bin Jahari lagi, pindaan akta yang sedang dipertimbangkan ketika ini bukanlah untuk menghukum pesalah bahasa tetapi lebih kepada usaha untuk memperkukuh peranan DBP dalam pembangunan serta pengiktirafan bahasa dan sastera kebangsaan.

Antara pindaan utama yang dicadangkan termasuklah memberikan kuasa kepada DBP untuk meluaskan penggunaan bahasa kebangsaan hingga ke peringkat antarabangsa serta menjadi badan tunggal yang mengiktiraf kursus bahasa dan bahan penerbitan yang berkaitan.

Ujar beliau lagi,

Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak boleh bergantung pada undang-undang sahaja, sebaliknya perlu dipupuk melalui kecintaan dan rasa tanggungjawab rakyat terhadap bahasa milik negara ini (bahasa kebangsaan).

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa pindaan akta tersebut termasuk dalam usaha memperkasakan peranan DBP, selain memanfaatkan peruntukan khas Inisiatif Belanjawan Tahun 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 yang lalu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi