Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBachok – Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (PPPNK), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), YBrs. Tuan Haji Jasri Kasim memaklumkan bahawa PPPNK, ICU JPM sentiasa menyokong dan membuka ruang kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) untuk melibatkan PPPNK, ICU JPM dalam penganjuran program pemerkasaan bahasa, sastera dan ilmu di negeri Kelantan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Perkampungan Penulis Wilayah Timur yang berlangsung pada 3 hingga 5 Julai 2025 di Sudara Beach Resort, Bachok.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada DBPWT atas kejayaan menganjurkan program berimpak tinggi tersebut.
DBPWT melalui YBrs. Puan Ariza Che Ismail berkata, sokongan ini merupakan mesej jelas tentang kesediaan PPPNK, ICU JPM untuk berganding bahu bersama-sama dengan DBPWT dalam memperkukuh perkembangan bahasa kebangsaan, memperluas penghayatan sastera dan mempertingkat budaya ilmu dalam kalangan masyarakat di Kelantan.
Perkampungan Penulis Wilayah Timur berjaya menghimpunkan seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada ahli pelbagai persatuan penulis dari negeri Kelantan dan Terengganu. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami bin Jahari.
Program ini merupakan anjuran DBPWT dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKN) serta beberapa persatuan penulis dari negeri Kelantan dan Terengganu.
Sepanjang tiga hari dua malam program ini berlangsung, pelbagai pengisian ilmu dan wacana telah dianjurkan termasuklah Seminar Pemikiran Sasterawan Negeri Kelantan: Dr. Fatimah Busu, Wacana Penulis Muda, Belasungkawa Penulis Kelantan dan Terengganu, Wacana Penulis Wanita Pantai Timur, Seminar Pemikiran Sasterawan Negeri Terengganu: Hilmi Rindu, Kuca Suro Kasih Saye dan Tewah Pantun Penulis Timur.