Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Shahrul Fadilah Ibrahim dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Negeri Selangor ke-39 yang berlangsung di Universiti Selangor (UNISEL), Shah Alam, hari ini.
Kemenangan ini melayakkan beliau mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan yang bakal menghimpunkan para juara dari seluruh negeri untuk beraksi di medan deklamasi paling berprestij bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2025. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan piala.
Naib Johan dimenangi oleh Nur Sharina Cik Ibrahim yang menerima hadiah wang tunai berjunlah RM700 dan piala, manakala tempat ketiga diraih oleh Syawal Hafriz dengan hadiah wang tunai sebanyak RM500 dan piala. Dua lagi pemenang saguhati, iaitu Afiq Fikri dan Nurul Fatin Amira masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200 dan piala.
Sayembara anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBPWT), Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Persatuan Kebajikan Penulis Muda Selangor (KEMUDI) dan Universiti Selangor ini disertai oleh sebanyak 17 orang peserta dari pelbagai daerah di Selangor, yang tampil mempersembahkan puisi yang dipetik daripada buku Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke Sarang Cenderawasih.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry; Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan; Yang Dipertua KEMUDI, YBrs. Encik Zainal Mohd Jais dan Timbalan Naib Canselor UNISEL, YBhg. Profesor Dr. Md Sidin Ishak.