Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera telah mengadakan kunjungan hormat bahasa kepada Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) di Seri Iskandar, Perak pada 11 Julai 2025 mencari penyelesaian terhadap isu yang timbul, iaitu usaha menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam iklan serta isu pemalsuan sijil DBP Sah Bahasa.
Isu pemalsuan sijil DBP Sah Bahasa yang dibincangkan adalah merujuk kepada aduan orang ramai yang diterima oleh DBP berhubung dengan hal papan tanda premis yang tidak menepati syarat asas penggunaan bahasa Melayu dan masih terdapat beberapa permohonan yang menggunakan sijil palsu.
Hasil tindakan pantas yang dilakukan oleh pihak MDPT kepada mana-mana premis dengan mengenakan tindakan membuat permohonan lesen baharu yang sah harus diberi pujian dan diteladani oleh pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain.
Sesi libat urus seperti ini amat penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara DBP dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyemarakkan usaha memartabatkan bahasa Melayu di tempat awam secara bersepadu dan berterusan.
Kegagalan mengawal isu ini secara berkesan bukan sahaja menjejaskan martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara, malah berpotensi mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta menghakis kepercayaan terhadap ketulenan dokumen pengesahan yang dikeluarkan oleh pihak DBP.
Dalam pertemuan ini, DBP turut berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan pengesahan bahasa Melayu (DBP Sah Bahasa), termasuklah punca kuasa pengesahan bahasa, penyemakan aspek bahasa, cabaran seperti perbezaan format iklan PBT, sijil DBP Sah Bahasa, tempoh sah laku sijil, serta kata pemutus PBT dalam mana-mana kelulusan akhir iklan di tempat awam.

Turut terlibat dalam sesi kunjungan hormat pada hari tersebut termasuklah Setiausaha MDPT, Encik Mohd Ainurridha bin Ahmad Majdi; Ketua Jabatan Kesihatan Awam, Perkhidmatan Perbandaran dan Pelesenan, Encik Mohd Hazwan bin Ahmad Damanhuri; Penolong Pegawai Undang-undang, Puan Nurul Fatihah binti Basri; serta pegawai dari Unit Penguatkuasaan MDPT.