Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad menyeru agar para guru memanfaatkan aplikasi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pelaksanaan pedagogi bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), khususnya mata pelajaran Bahasa Melayu lebih menarik kepada para pelajar.
Beliau menyampaikan saranan tersebut ketika berucap dalam Majlis Penutupan Bengkel Kerja Transformasi Digital dalam Pengajaran dan Pembelajaran Kurikulum Bahasa Melayu yang diadakan di HGH Galaxy Sentul baru-baru ini.
Menurut beliau, kepesatan perkembangan teknologi menuntut para pendidik untuk bersedia melakukan perubahan serta menyesuaikan diri dengan arus digitalisasi dalam dunia pendidikan, khususnya di dalam bilik darjah.
Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), YBrs. Puan Hajah Nooraini Kamaruddin turut menyokong hasrat murni tersebut dengan menegaskan bahawa penggunaan teknologi digital dan AI dalam PdP bahasa Melayu adalah selaras dengan hasrat dan penekanan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memastikan setiap murid fasih digital seiring dengan Dasar Pendigitalan Negara.
Dalam majlis yang sama, Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai dalam ucapannya menyatakan bahawa pihaknya turut menyokong penuh penganjuran bengkel itu.
Menurut beliau lagi usaha berkenaan amat signifikan terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam era digital, selain menggalakkan pengembangan bahasa mengikut keperluan semasa dalam era digitalisasi.

Bengkel kerja yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 9 hingga 11 Julai 2025 ini dianjurkan secara kerjasama oleh BPK, DBP dan Persatuan Bahasa Cina Malaysia (MCLC).
Tujuh sesi pembentangan daripada individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang digital dan AI, iaitu Videografi AI dalam Bahasa Melayu; Penggunaan Canva AI dalam Kemahiran Membaca; AI dalam Penceritaan dan Pemikiran Kritikal; Penggunaan Gemini Live; GPT dan Gemini Canvas; Microsoft Reading Coach dan Reading Progress; serta Penggunaan AI dalam Pendidikan Berkaitan dengan SDG dikongsikan kepada para peserta agar dapat dimanfaatkan dalam PdP.
Sepanjang bengkel, mereka didedahkan dengan penggunaan teknologi digital dan AI dalam pengajaran bahasa Melayu menerusi pendekatan secara alami (hands on) yang memberikan pengalaman secara langsung.
Penganjuran bengkel tersebut memberikan dimensi baharu dalam penerapan pedagogi PdP Bahasa Melayu di dalam bilik darjah kepada 250 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG), pegawai jabatan pendidikan negeri (JPN), pegawai pendidikan daerah (PPD) dan guru Bahasa Melayu dari seluruh negara.
