Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan (P) Alawiyah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Forum Remaja MADANI Sekolah Menengah Negeri Perlis 2025 dalam majlis perasmian penutup pertandingan tersebut yang diadakan di Dewan Za’aba, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, semalam.
Program yang menghimpunkan bakat muda dari seluruh negeri dalam usaha mengangkat seni wacana dan kepetahan berbahasa dalam kalangan pelajar ini merupakan anjuran bersama pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dan SMK Perlis.
Menurut Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal bin Hashim, penguasaan bahasa kebangsaan yang baik amat penting dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar.
Tambah beliau,
Penguasaan bahasa Melayu yang betul dan berkesan adalah kunci dalam membentuk generasi muda yang berfikiran kritis, berani di hadapan khalayak dan berjiwa Madani. Dengan menguasai bahasa kebangsaan dengan sempurna, kita bukan sahaja dapat meningkatkan martabat bahasa Melayu, malah turut melahirkan individu yang lebih berkeyakinan untuk menyuarakan pendapat dan menyumbang kepada masyarakat.

Sementara itu, naib johan pertandingan tersebut dirangkul oleh SMK Derma dan tempat ketiga menjadi milik Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.
Pertandingan ini bukan sahaja mengetengahkan kemahiran berhujah secara ilmiah dalam kalangan pelajar, malah turut menjadi medan latihan kepada mereka untuk menyampaikan pandangan dengan penuh keyakinan, secara matang, beretika serta bersandarkan fakta yang sahih.
Setiap peserta diasah dengan kemahiran mengolah idea dan menzahirkan hujah yang relevan dengan isu semasa, termasuklah aspek kenegaraan, kepimpinan remaja, perpaduan dan nilai kemasyarakatan yang mendukung prinsip Malaysia MADANI.

Setiap pasukan diberikan peluang untuk mempersembahkan wacana berkualiti yang bukan sahaja mementingkan kepetahan berkata-kata, malah turut menuntut kecekapan dalam penyusunan idea secara kreatif dan kritis. Hal ini secara tidak langsung melatih pelajar menjadi generasi yang celik isu, berani menyuarakan pendapat dan bijak berfikir di luar kotak.
Antara objektif utama penganjuran forum ini termasuklah memupuk budaya ilmu dalam kalangan remaja, memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam wacana intelektual, serta membina keyakinan diri pelajar menengah atas agar mampu tampil sebagai pemimpin masyarakat pada masa hadapan.
Sebanyak 15 buah sekolah menengah dari seluruh negeri Perlis telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, bersaing secara sihat dan penuh semangat. Setiap peserta menampilkan mutu perbahasan yang membanggakan, sekali gus mencerminkan kualiti generasi muda yang berpotensi untuk digilap menjadi pemimpin masa hadapan berteraskan ilmu dan adab.
Dengan adanya pertandingan sebegini, diharapkan usaha memperkasakan generasi muda menerusi platform bahasa dan wacana intelektual dapat terus diperkukuh demi melahirkan pelapis pemimpin masa hadapan negara yang berwibawa.