Oleh Azrin Eddy
Diterbitkan pada 17 Julai 2025, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tawau – Dalam usaha memelihara bahasa ibunda yang semakin terpinggir, Majlis Adat Tidung Sabah (MATS) mengambil langkah proaktif dengan memulakan langkah pembinaan Kamus Tidung–Melayu Dewan menerusi penganjuran Bengkel Penulisan Kamus Tidung–Melayu Dewan yang berlangsung di Hotel Astana, Tawau semalam.

Bengkel yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Julianah Kuli telah menghimpunkan sebanyak 50 orang peserta, termasuk Ketua-ketua Adat Besar Tidung dari Zon Sebatik, Sri Apas Tawau, Pitas, Lahad Datu dan Merotai, serta ahli-ahli MATS di seluruh Sabah. Turut hadir memberikan sokongan ialah Ketua Lembaga Adat Pelancongan MATS, Puan Mariani Sulaiman.

Puan Julianah Kuli (tengah) ketika memberikan bimbingan dalam Bengkel Penulisan Kamus Tidung–Melayu Dewan .

Menurut Bentara Adat MATS, merangkap Pengetua Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Merotai, Encik Abdul Mulok Abdullah Sani, penyusunan kamus ini amat signifikan memandangkan masyarakat Tidung di Sabah mempunyai taburan yang luas, meliputi daerah Sebatik, Tawau, Lahad Datu, Kalabakan, Pitas, Beluran dan Labuk.

Beliau menjelaskan lagi, kepelbagaian geografi ini telah melahirkan variasi bahasa, dialek dan budaya dalam kalangan masyarakat Tidung. Hal ini menjadikan usaha pembinaan kamus yang menyeluruh amat penting bagi menyatukan dan memelihara identiti etnik Tidung di Sabah.

Ujar beliau,

Kamus ini diharapkan mampu merangkumi kepelbagaian tutur masyarakat Tidung di seluruh Sabah agar menjadi alat penyatuan serta bukti komitmen masyarakat Tidung terhadap pemeliharaan warisan bangsa.

DBP Cawangan Sabah menyambut baik usaha ini kerana penyusunan kamus bahasa sukuan Sabah merupakan satu daripada peranan DBP dalam usaha memperkaya kosa kata bahasa Melayu menerusi pendokumentasian bahasa sukuan Sabah.

Melalui penyusunan kamus bahasa sukuan seumpama ini, usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lebih inklusif, di samping menghargai dan memelihara khazanah budaya tempatan.

Penerbitan kamus ini bukan sahaja menyumbang kepada pengumpulan data linguistik, malah berfungsi sebagai bahan rujukan untuk pelajar, penyelidik dan masyarakat umum yang ingin mengenali bahasa serta budaya masyarakat Tidung dengan lebih mendalam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi