Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Dalam dunia digital yang berkembang pesat serta kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI), penerbitan majalah berbahasa Melayu berhadapan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan perhatian serius.
Sehubungan dengan itu, Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 bakal dianjurkan bagi menghimpunkan pemain industri, akademia dan agensi kerajaan bagi membincangkan secara tuntas berkenaan isu tersebut.
Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Rosmani Omar ketika ditemu bual dalam rancangan Cakna Bahasa terbitan Bernama Radio petang semalam menyatakan bahawa seminar ini antara lain akan menelusuri cabaran dalam era digital dan potensi AI terhadap landskap penerbitan dan media berbahasa Melayu.
Objektif utama seminar ini adalah untuk membuka ruang wacana antara pelbagai pihak berkepentingan dalam membincangkan cabaran teknologi serta menyelaras strategi baharu bagi memperkukuh kedudukan majalah berbahasa Melayu sebagai wadah ilmu yang relevan dalam pembangunan negara.
Antara barisan pemakalah yang dijangka membentangkan kertas kerja termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif New Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir, tokoh penerbitan seperti Pengerusi Karangkraf, YBrs. Puan Firdaus Dato’ Hussamuddin, editor-editor kanan media tempatan, wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM), Institut Akhbar Malaysia (MPI), Persatuan Editor Malaysia, Munsyi Dewan (Bahasa) serta pensyarah kanan dalam bidang komunikasi dan media.
Seminar dua hari ini akan berlangsung pada 23 dan 24 Julai 2025 (Rabu dan Khamis), bermula pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.
Dr. Rosmani turut menjelaskan bahawa seminar ini akan dibuka dengan sesi forum yang bertajuk “Evolusi Penerbitan Majalah dan Media Digital di Malaysia”, diikuti dengan empat sidang pleno.
“‘Sidang Pleno 1: Maraknya Media Digital, Pembunuh Majalah/Media Bercetak?’ bakal berlangsung pada hari pertama manakala ‘Sidang Pleno 2: Membaca Kunci Pembentukan Manusiawi’, ‘Sidang Pleno 3: Majalah dan Media Digital Medium Bahan Bantu Pengajaran dan Pembelajaran’ serta ‘Sidang Pleno 4: Minda Pengarang, Merentas Kepelbagaian Genre’ akan berlangsung pada hari kedua,” tambah beliau.
Melihat pada ekologi media kini, Dr. Rosmani berkata, walaupun media bercetak kini semakin tenggelam dalam arus digital, kehadiran platform media baharu memberikan peluang besar bagi penerbit untuk menyampaikan kandungan ilmiah kepada khalayak yang lebih luas secara maya.
“Yang lebih penting, seminar ini dijangka menjadi pemacu bagi inovasi dalam sektor pendidikan dan penerbitan, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keilmuan, nilai murni dan pembentukan jati diri rakyat,” ujar beliau.
“Seminar ini diharapkan akan menghasilkan satu resolusi konkrit dan praktikal bagi memperkasakan semula industri majalah dan media digital berbahasa Melayu serta memperluas capaian bahan bacaan berkualiti dalam kalangan masyarakat.”