Diterbitkan pada 18 Julai 2025, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tawau – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan bahasa kebangsaan melalui penganjuran program Majalah Dalam Kelas (MDK) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chin, Tawau semalam. Program ini melibatkan penyertaan sebanyak 50 orang pelajar SJKC Yuk Chin dan dikendalikan oleh YBrs. Encik Zaidi Ismail, iaitu Timbalan Pengarah II, DBP Cawangan Sabah.

Pembimbing Majalah Dalam Kelas, iaitu YBrs. Encik Zaidi Ismail.

Program MDK pada kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila pelaksanaannya diperluas ke sekolah vernakular berbanding dengan pendekatan sebelum ini yang lebih tertumpu pada sekolah kebangsaan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha DBP untuk memperkenalkan bahan bacaan berkualiti seperti majalah Dewan Pelajar di samping melahirkan generasi muda yang kreatif dan berfikiran kritis.

Peserta didedahkan dengan pendekatan “didik hibur” melalui pelbagai aktiviti interaktif termasuklah kuiz bahasa dan latihan penulisan karangan ringkas yang terbukti berkesan dalam usaha untuk menarik minat pelajar terhadap bahasa Melayu. Program ini turut memperkukuh kesedaran bahawa bahasa kebangsaan adalah milik bersama seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum.

Aktiviti kuiz bahasa.

Pihak sekolah dan para guru menyambut baik penganjuran program ini. Mereka berpendapat bahawa kaedah penyampaian yang menarik serta kandungan bahan bacaan yang mesra pelajar mampu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Cina. Hal ini sekali gus memupuk kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Penganjuran MDK di SJKC Yuk Chin membuktikan bahawa usaha memperkasakan bahasa Melayu wajar dilaksanakan dalam semua jenis aliran pendidikan. Inisiatif ini diharapkan mampu menyerlahkan lagi komitmen berterusan DBP dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia di samping memperkukuh asas perpaduan dan identiti nasional melalui sistem pendidikan yang inklusif dan holistik.

Aktiviti penulisan karangan ringkas.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi