Diterbitkan pada 18 Julai 2025, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Sebanyak 40 orang kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menyertai Kursus Cendekia Bahasa pada 16 Julai 2025 hingga 17 Julai 2025 di PDC, Bandar Bayan Baru, Pulau Pinang.

Antara peserta yang terlibat dalam Kursus Cendekia Bahasa.

Kursus anjuran PDC dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Akademi DBP yang diadakan buat julung kalinya ini bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu, menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan baik, serta membetulkan kesalahan tatabahasa yang lazim dalam urusan rasmi sama ada secara lisan mahupun penulisan.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Pengurus Bahagian Korporat dan Komunikasi, PDC, iaitu Encik Zulkifli bin Ismail.

Beliau berharap agar penganjuran kursus ini dapat memugarkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat dalam kalangan kakitangan PDC.

Ujar beliau,

90 peratus urusan rasmi di PDC secara lisan mahupun bertulis dengan pelbagai pihak dibuat dalam bahasa Melayu.

Beliau turut berharap agar pelibatan PDC dalam penganjuran kursus ini menjadi contoh terbaik bagi agensi pelbagai sektor lain demi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Kursus Cendekia Bahasa ini telah dibimbing oleh Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Habibah binti Mohd Samin, Munsyi Dewan (Bahasa) yang juga mantan pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang semantik dan tatabahasa bahasa Melayu itu menekankan konsep teori dan amali dengan menyediakan ujian prakursus bagi melihat tahap penguasaan bahasa Melayu peserta pada permulaan kursus.

Seterusnya, penceramah menyampaikan topik kursus yang disediakan, iaitu memahami konsep Bahasa Jiwa Bangsa, pengenalan kepada morfologi dan sintaksis, peranan pengguna bahasa, kesalahan umum dalam penulisan, kekeliruan ejaan kata bahasa Melayu dan kata pinjaman, dan seterusnya turut diadakan latihan dalam kumpulan.

Peserta Kursus Cendekia Bahasa bergambar kenang-kenangan bersama-sama dengan Dr. Habibah binti Mohd (tengah) selaku penceramah.

Sepanjang dua hari pelaksanaan kursus ini, setiap peserta dapat memahami dan menguasai asas tatabahasa dengan baik serta mengamalkannya dalam tugasan yang diberikan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi