Diterbitkan pada 20 Julai 2025, 12:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tawau – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah menganjurkan Program Onsoi, Kamus! (Sesi Perkongsian Ilmu Perkamusan) bersempena dengan Festival Bahasa dan Sastera (BAHTERA) pada 17 Julai 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chin.

Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran sebanyak 300 orang peserta yang terdiri daripada guru serta murid sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah Tawau.

Puan Puan Azrin binti Eddy (kiri) ketika sesi soal jawab dalam program tersebut.

Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Perancang Bahasa DBP Cawangan Sabah, Puan Azrin binti Eddy yang memberikan penerangan komprehensif tentang kaedah penggunaan kamus secara sistematik dan berkesan serta mengoptimumkan penggunaannya dalam kehidupan harian. Penekanan turut diberikan terhadap peranan kamus sebagai alat bantu pembelajaran yang mampu mengasah kemahiran bahasa, membina pemikiran kritis, dan melatih kemahiran pencarian maklumat kendiri. Selain itu, peserta turut didedahkan tentang maklumat tentang produk terbitan DBP, khususnya kamus.

Antara sorotan utama program ini termasuklah sesi soal jawab dan kuiz interaktif yang mendapat sambutan positif daripada para peserta. Pelibatan secara aktif ini mencerminkan minat dan kesedaran dalam kalangan peserta terhadap kepentingan mendalami ilmu perkamusan serta penggunaan sumber rujukan yang sahih.

Secara keseluruhannya, Program Onsoi, Kamus! bukan sekadar ceramah umum tentang kamus, tetapi merupakan wadah pembangunan sahsiah bahasa yang menyasarkan pembinaan jati diri peserta sebagai pengguna bahasa yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan berdaya saing.

Usaha ini juga sejajar dengan matlamat DBP untuk memperkukuh budaya ilmu melalui pemasyarakatan bahasa dan sastera pada pelbagai peringkat komuniti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi