Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTemerloh – Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Bentong dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Negeri Pahang 2025 yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khee Chee, semalam.
Program anjuran Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh ini melibatkan 14 buah sekolah dari lapan daerah sekitar Pahang.
Dalam majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Puan Siti Hafiza binti Shamsudin berkata,
Acara ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi lebih penting sebagai platform untuk melatih bakat komunikasi, pemikiran kritis serta sahsiah generasi muda kita.
Menurut beliau, pertandingan seperti ini dapat mencungkil bakat dan melatih murid yang berbakat dalam pidato, perbahasan dan pengucapan awam untuk maju ke hadapan dan berani menyampaikan buah fikiran yang segar dan kritis di pentas pertandingan.
Naib johan bagi pertandingan tersebut ialah SMK FELDA Purun, diikuti dengan tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan. Tempat keempat disandang oleh Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan dan SMK Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan berada di kedudukan kelima yang masing-masing menerima sijil pencapaian dan piala iringan.

Sementara itu, pemenang bagi kategori Pendebat Terbaik ialah Anis Habriyah binti Muhammad Fahmirauf dari SMAP Bentong.
Pasukan dari SMAP Bentong akan mewakili negeri Pahang ke Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Tahun 2025 yang akan berlangsung di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 8 September 2025 hingga 11 September 2025 akan datang.