Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSandakan – Dalam usaha memperkukuh penguasaan bahasa Melayu serta meningkatkan minat pelajar terhadap bahan bacaan berkualiti, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah menganjurkan Program Majalah dalam Kelas (MDK) di Sekolah Menengah (SM) Yu Yuan, semalam dengan melibatkan penyertaan pelajar tingkatan tiga dari sekolah berkenaan.

Program yang dikendalikan oleh Perancang Bahasa DBP Cawangan Sabah, Puan Maslijan Abd Rasad bersama-sama dengan Encik Ahmad Fazly Sahak itu turut memperkenalkan produk penerbitan DBP seperti majalah Dewan Siswa yang sarat dengan bahan pengetahuan, karya kreatif dan maklumat semasa yang bermanfaat kepada golongan remaja.
Puan Maslijan dalam ucapannya berkata, penganjuran MDK di SM Yu Yuan amat signifikan memandangkan rata-rata pelajar di sekolah tersebut kurang menguasai bahasa Melayu.
Ujar beliau lagi,
Pendekatan melalui bahan bacaan dan aktiviti interaktif dapat menarik minat mereka untuk berkomunikasi dan menulis dalam bahasa kebangsaan dengan lebih baik.
Pelajar turut diberi pendedahan tentang kata majmuk, termasuk penggunaan yang betul dalam penulisan dan pertuturan. Mereka juga diperkenalkan tentang penggunaan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang membolehkan mereka membuat semakan makna kata, ejaan, istilah dan rujukan bahasa secara lebih mudah dan pantas.
Bagi mengukuhkan pemahaman, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan melibatkan diri dalam aktiviti penulisan sajak berdasarkan cerpen yang dibaca, mendeklamasikan sajak yang dihasilkan serta memilih perkataan yang tepat dalam tugasan interaktif.
Menurut Encik Yong Ket Wui, guru bahasa Melayu tingkatan tiga di SM Yu Yuan, program ini memberikan kesan positif kepada pelajar.
Tambah beliau,
Melalui program ini, pelajar dapat menguasai mata pelajaran bahasa Melayu, terutamanya pelajar tingkatan tiga. Dalam aspek tatabahasa khususnya, mereka juga turut didedahkan dengan majalah terbitan DBP, terutamanya majalah Dewan Siswa. Diharapkan program ini dapat memberikan manfaat yang berguna kepada pelajar tingkatan tiga SM Yu Yuan.
Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja dapat mengasah kemahiran berbahasa, malah menggalakkan kerjasama berpasukan, meningkatkan kreativiti dan keyakinan diri pelajar untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu.