Diterbitkan pada 8 Ogos 2025, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sabah – Debat hangat, hujah mantap dan lontaran idea yang tajam menjadi tumpuan apabila Sekolah Menengah (SM) Kian Kok, Kota Kinabalu diumumkan sebagai juara Pertandingan Forum Pelajar 2025 Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung penuh semangat di SM Yu Yuan, Sandakan, semalam.

Majlis perasmian penutup pertandingan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Menengah Cina Persendirian Sabah, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Au Kam Wah yang turut memuji kualiti perbincangan dan pemikiran kritis dalam kalangan peserta.

Barisan pemenang pertandingan bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan guru pembimbing sekolah masing-masing.

Bertemakan “Kesihatan: Media Sosial dan Kesihatan Mental”, pasukan dari SM Kian Kok Kota Kinabalu berjaya memikat hati para juri dengan persembahan bertenaga, isi perbincangan yang mendalam serta gaya penyampaian yang penuh keyakinan. Kemenangan ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah, malah melayakkan mereka membawa panji negeri Sabah ke pentas Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada bulan Oktober 2025 di Sabah. Sebagai juara, mereka membawa pulang sijil penyertaan, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta wang tunai berjumlah RM1500.00.

Sembilan sekolah dari seluruh pelosok negeri menghantar wakil terbaik mereka untuk merebut gelaran juara, namun hanya tiga pasukan terbaik berjaya menempah tempat di podium.

Tempat kedua disandang oleh Sekolah Menengah Tsung Tsin Sabah yang tampil dengan tajuk forum “Budaya: Budaya Tular dalam Media Sosial”. Pasukan ini membawa pulang sijil penyertaan, buku terbitan DBP serta wang berjumlah RM1000.00.

SM Beaufort pula memukau juri dengan forum bertemakan “Pertanian/Alam Sekitar: Kehijauan Alam dan Kestabilan Emosi” untuk meraih tempat ketiga dan membawa pulang sijil penyertaan, buku terbitan DBP serta wang berjumlah RM750.00.

Lebih membanggakan, seorang daripada peserta SM Kian Kok, iaitu Lawrish Earl Christoper dinobatkan sebagai Ahli Forum Terbaik, mengukuhkan lagi dominasi sekolah tersebut dalam pertandingan kali ini dan Pengerusi Terbaik pula disandang oleh Chong Jin Hao dari SM Beaufort.

Yang turut hadir, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Nordin; Pengetua SM Yu Yuan Sandakan, Encik Bernard Yuen Wai Kian, dan Ahli Lembaga Pengarah sekolah, Encik Fung Kok Chau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi