Diterbitkan pada 12 Ogos 2025, 13:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pasukan dari Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan melangkah ke peringkat akhir Forum Remaja MADANI Kebangsaan 2025 (FRMK 2025) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Srikandi dari SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja (I), Kelantan.

Persaingan pada peringkat saringan menampilkan perdebatan yang berkualiti tinggi dengan kupasan mendalam terhadap topikyang menyentuh isu warisan, teknologi, bahasa dan cabaran dunia pekerjaan masa ini.

Antara tajuk yang menjadi medan wacana peserta termasuklah legasi seni irama tradisional, kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar, kemerosotan bahasa dalam media sosial, kesan kecerdasan buatan, pekerjaan sementara dalam dunia pekerjaan masa ini dan kerelevanan seni tradisional.

Ketua Hakim pertandingan, yang juga Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, YBrs. Encik Ja’afar Hamdan mengulas bahawa peserta dinilai bukan sahaja berdasarkan kekuatan hujah, malah keupayaan membina idea baharu dan memberi nafas segar terhadap topik perbincangan.

Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, YBrs. Encik Ja’afar Hamdan merupakan Ketua Hakim bagi FRMK 2025.

Menurut beliau, persembahan yang menggunakan data sahih, kefahaman terhadap perbezaan bahasa lisan dan teks, penguasaan tema spontan, serta kejelasan konsep dan konteks adalah antara elemen yang mempengaruhi markah.

Beliau turut menegaskan bahawa ujaran dan keyakinan berbahas mampu memikat perhatian hakim, namun perlu disokong oleh fakta yang tepat dan relevan.

Pasukan Kelantan yang diwakili Damya Syafieqa Abdul Hadi, Nowa Batrisya Jimmy, Syarifah Syazwani Syed Abdul Hamid, Muhammad Aqid Amzar Mohd Zairul Faiz dan Muhammad Sidqi Nazif Samsudin akan bertemu pasukan Wilayah Persekutuan Labuan yang dibarisi Hamzey Mikael Hasmi, Sheannyqa Eva Tunis, Zulaikha Faridzuan Teo dan Muhammad Yusuf Aminuddin di pentas akhir FRMK 2025.

Sekolahyang terlibat dalam FRMK 2025 pada peringkat kebangsaan kali ini termasuklah SMK Darul Aman Heights 1 dari Kedah, Kolej Permata Insan (Negeri Sembilan), SMA Perempuan Awlawiyah (Perlis), SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja (I) (Kelantan), SMK Tun Syed Zaharuddin (Melaka), SMK Tarcisian Convent Ipoh (Perak), SMK Tengku Intan Zaharah (Terengganu), SMK Gadong Beaufort (Sabah), SMK Jengka Pusat (Pahang), SMK Senggarang (Johor), SMK Bandar Seri Putra (Selangor), SMK Putrajaya Presint 8 (1) (Putrajaya), SM Sains Labuan (WP Labuan), SMK Dato Haji Ahmad Badawi (Pulau Pinang), SMK St. Luke Sri Aman (Sarawak) dan SMK Seri Bintang Selatan (WP Kuala Lumpur).

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi