Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 13 Ogos 2025, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Forum Remaja MADANI bakal menjadi pertandingan forum yang lebih berprestij pada peringkat kebangsaan apabila pialanya bakal dinaik taraf menjadi Forum Remaja MADANI Piala Menteri Pendidikan dengan hadiah yang lebih lumayan tajaan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bermula tahun hadapan.

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Forum Remaja MADANI Peringkat Kebangsaan 2025 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP semalam.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa jumlah hadiah utama pertandingan tersebut akan ditingkatkan kepada RM15,000 berbanding dengan RM5,000 pada tahun ini.

Menurut beliau, acara yang telah berlangsung sejak 36 tahun lalu itu memerlukan lonjakan baharu dan penyertaan yang lebih meluas dalam kalangan pelajar pada masa akan datang.

“Kelebihan itu mesti dilihat bahawa acara ini tidak boleh lagi menjadi acara rutin yang biasa. Kita benar-benar mahu menyokong dan mendukung para pelajar dalam memastikan program ini menjadi acara tumpuan semua pihak kerana keterbukaan penyertaannya dan mesti mempunyai latihan yang khusus,” jelas Yang Berhormat.

Sehubungan dengan itu, satu perbincangan akan diadakan dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha memperkukuh aspek jurulatih, latihan, ruang dan platform bagi acara itu, terutama untuk melahirkan generasi peserta pelapis.

“Jika Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri, kita sudah menubuhkan Akademi Bahas MADANI; untuk forum ini, saya akan melihat beberapa aspek yang boleh diperkasakan seperti jurulatih, latihan, ruang dan platform untuk para pelajar,” ujar beliau lagi.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat turut berhasrat meninjau sendiri kaedah latihan di sekolah yang konsisten setiap tahun dan menjadi model latihan forum pada peringkat kebangsaan. Sekolah tersebut memberikan tumpuan kepada acara ini sehingga berupaya melahirkan generasi pelapis, dan sekali gus mengangkat program Forum Remaja ke tahap yang lebih tinggi.

“Perkara yang menjadi kebanggaan kita adalah apabila melihat anak muda menggunakan ruang forum ini untuk mengangkat bahasa Melayu. Apabila kita menggunakan bahasa yang baik, kesantunan yang tinggi dan rasa berbangga ketika menggunakan bahasa Melayu yang betul, sebenarnya kitalah cerminan kekuatan bangsa, negara dan pendidikan kita,” kata YB Fadhlina.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa acara ini menjadi wadah penting untuk mengembangkan potensi para pelajar, melatih pengurusan emosi, memupuk semangat berpasukan serta mengasah kemahiran mengulas sesuatu isu secara kritis.

Dalam ucapannya, beliau juga berharap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited memperkasakan bahasa Melayu menerusi peningkatan program yang strategik.

Majlis perasmian penutupan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, YBrs. Tuan Haji Juhari Mohamad Nor; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengarah-pengarah Jabatan, Ketua-ketua Editor, Ketua-ketua Bahagian, guru-guru serta para pelajar.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi