Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sebagai pusat rujukan utama tulisan Jawi bagi negeri Pahang merintis usaha pemartabatan dan pemerkasaannya dengan lebih meluas ke seluruh negeri menerusi pelbagai program strategik.
Naib Canselor UnIPSAS, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, inisiatif memperkasakan tulisan Jawi di Pahang pada peringkat awalnya disokong oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurut beliau, antara langkah awal yang dilaksanakan termasuklah penganjuran Bengkel Kemahiran Jawi sebanyak lapan siri sepanjang dua tahun, iaitu bermula pada tahun 2014 hingga 2016 yang melibatkan pensyarah dan kakitangan MUIP.
Lantaran itu, menyedari tentang keperluan tenaga pakar bagi pengajaran Jawi di negeri berkenaan, tujuh orang munsyi dari UnIPSAS berjaya ditauliahkan melalui Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi) sehingga tahun 2020.
“Pada tahun 2020, setelah mengambil kira keprihatinan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan kerajaan negeri, kita menubuhkan Institut Jawi yang diletakkan di bawah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UnIPSAS,” katanya ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Peranan UnIPSAS dalam Memperkasakan Penggunaan Tulisan Jawi di Negeri Pahang” dalam Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH 2025) di Hotel Grand Darul Makmur pada hari ini.
Jelas beliau, penubuhan institut itu bagi membantu pelbagai urusan termasuklah mengesahkan ejaan Jawi tanpa caj, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, menganjurkan bengkel kemahiran Jawi serta mengadakan pertandingan dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negeri.
Tambah beliau,
Kita mengeluarkan sijil pengesahan ejaan Jawi apabila mendapat arahan daripada kerajaan negeri agar semua agensi dan premis perniagaan merujuk Institut Jawi, UnIPSAS bagi memastikan tulisan Jawi yang dipaparkan menepati ejaan yang betul.
Ujar beliau, pelbagai program lain turut dilaksanakan termasuklah rancangan “Dari Bilik Kuliah ke Konti Radio” di stesen radio, pentahkikan manuskrip dan buku lama kepada bentuk yang lebih mudah difahami serta pembangunan aplikasi e-Jawi Makmur.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa terdapat pelbagai cabaran dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi di negeri itu termasuklah kekurangan pakar guru yang mahir.
Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 28 peratus sahaja guru yang lulus dalam tulisan Jawi dan 72 peratus selebihnya mencapai tahap sederhana dan rendah.
Tegas beliau, perkara ini perlu diberikan perhatian kerana generasi muda tidak akan mahir dalam tulisan Jawi jika guru tidak menguasainya.
Antara cabaran lain yang dihadapi termasuklah lemahnya penguasaan dan kefahaman Jawi dalam kalangan masyarakat, persepsi bahawa Jawi tidak lagi relevan pada masa ini, persepsi masyarakat bukan Melayu dan kesalahan ejaan Jawi pada papan tanda.
Beliau memaklumkan bahawa perubahan tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi, penghapusan akhbar tulisan Jawi dan pengajaran Jawi dikeluarkan daripada kurikulum sekolah telah menyumbang terhadap pelbagai persepsi dalam masyarakat.
Lebih malang lagi, beliau berkata anak-anak muda tidak merasakan bahawa tulisan Jawi menjadi sebahagian daripada jati diri dan khazanah yang sangat bernilai untuk dipelihara.
Kajian mendapati bahawa masyarakat bukan Melayu beranggapan bahawa tulisan Jawi mampu mendorong mereka memeluk agama Islam. Sekiranya kita memberikan penjelasan yang sebenar, mereka turut memahami bahawa tulisan Jawi tidak mempunyai kaitan dengan penganutan agama Islam.
Beliau mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil bagi memartabatkan tulisan Jawi dengan menjadikan Pahang sebagai negeri kaligrafi Islam, memperbanyak kajian manuskrip Melayu, melahirkan lebih ramai pakar, meningkatkan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran Jawi serta penghasilan buku dalam tulisan Jawi.