Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Pembelajaran tulisan Jawi tetap memancarkan sinar kecilnya di negara Jepun sejak 2001 sehingga kini melalui dua platform utamanya yang berfungsi berdasarkan tujuan masing-masing, iaitu Kumpulan Kajian Dokumen Jawi dan Kursus Jawi di Universiti Bahasa Asing Tokyo (TUFS).

Pensyarah Universiti Bahasa Asing Tokyo, Yang Berusaha (YBrs.) Profesor Madya Dr. Hiroki Nomoto berkata, para pengkaji Kumpulan Kajian Dokumen Jawi memberikan fokus terhadap Jawi klasik bagi kegiatan penyelidikan dokumen lama, manakala mahasiswa TUFS pula mempelajari Jawi moden sebagai pengetahuan tambahan.

Menurut beliau, Kumpulan Kajian Dokumen Jawi telah ditubuhkan oleh Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Emeritus Dr. Midori Kawashima pada tahun 2001 sebelum dibubarkan pada tahun 2009. Kumpulan tersebut mempunyai 26 orang ahli pada tahun 2015 yang terdiri daripada pengkaji dalam bidang sejarah Malaysia, Indonesia dan Thailand, bidang gerakan Islam di Filipina Selatan serta bidang penghijrah Arab di Indonesia.

Penubuhannya bertitik tolak daripada kesedaran bahawa dokumen Jawi kurang dimanfaatkan di negara itu dalam bidang kajian Nusantara berikutan kekurangan pakar yang mampu membacanya.

“Kekurangan maklumat tentang kamus, bibliografi dan buku teks bagi mempelajari tulisan Jawi menjadi halangan besar untuk pembelajarannya dalam kalangan orang Jepun,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Aksara Warisan Melayu di Negara Matahari Terbit: Pembelajaran Tulisan Jawi di Jepun” dalam Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH 2025) di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.

“Para pengkaji terpaksa berusaha keras untuk mencari maklumat dan bahan sendiri sebelum mereka boleh mulai belajar,” tambahnya.

Beliau menyatakan bahawa antara kegiatan kumpulan ini termasuklah melaksanakan bengkel, persidangan dan seminar, mengumpulkan dokumen Jawi, membuat transliterasi, menerbitkan buletin serta berkongsi maklumat secara meluas menerusi laman web.

Menurut beliau,

Kumpulan ini juga menerbitkan sebuah jurnal, iaitu jilid khas Jurnal Kajian Asia Sofia bertajuk, ‘Kemungkinan Kajian Dokumen Jawi’ yang memuatkan 17 makalah.

12 daripada 17 makalah itu ditulis dalam bahasa Jepun manakala selebihnya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Beliau turut memetik padangan daripada sarjana Jepun, YBrs. Profesor Madya Dr. Hiroyuki Yamamoto yang mengulas tentang bahan Jawi yang diterbitkan di Malaysia tidak sesuai untuk pelajar Jepun sebagai pelajar pemula kerana tidak sistematik dan mengandaikan pelajar sudah mempunyai pengetahuan bahasa Arab.

Meskipun Kumpulan Kajian Dokumen Jawi dibubarkan pada tahun 2009, sebahagian aktiviti kumpulan itu masih diteruskan oleh kumpulan baharu, iaitu Kumpulan Kajian Dokumen Jawi dan Masyarakat sehingga tahun 2013.

Kumpulan baharu ini mempunyai dua aktiviti utama, iaitu projek “Zaman Qalam” yang mentransliterasikan dan mendigitalkan majalah Qalam Singapura dan bengkel membaca dokumen Jawi, khususnya ejaan Jawi pada awal abad ke-20.

Mengulas lanjut tentang pembelajaran Jawi di TUFS, beliau berkata kursus elektif Jawi telah ditawarkan sejak tahun 2012 sehingga kini kepada pelajar tahun tiga dan empat di bawah Program Bahasa Melayu dalam tempoh satu semester.

Pada tahun ini, sebanyak sembilan orang yang mengambil kursus ini dan dalam kursus tersebut latihan menulis juga dilakukan.

Bahan bacaan yang digunakan dalam kursus ini diambil daripada buku teks bagi murid sekolah rendah di Malaysia dan bahan ini sebenarnya tidak sesuai untuk mahasiswa di universiti.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar bahan pengajaran Jawi untuk pelajar pemula dihasilkan dengan pendekatan yang lebih sesuai dan berfokuskan pada topik menarik seperti sejarah dan artifak.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa cabaran lain yang dihadapi dalam pembelajaran Jawi di TUFS termasuklah sistem ejaan Jawi sendiri, latar belakang pelajar Jepun yang tidak mengetahui bahasa Arab, kekurangan bahan serta tiada panduan buku teks Jawi dalam bahasa Jepun kecuali panduan yang ringkas.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi