Diterbitkan pada 20 Ogos 2025, 13:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – “Bidang penterjemahan bukan sekadar alat komunikasi, bahkan menjadi pemacu strategik kepada pembangunan ilmu, ekonomi digital, industri kreatif serta diplomasi silang budaya negeri ini.”

Demikian ujar Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Yang Berhormat (YB) Datuk Mohammad Razi Sitam mewakili Premier Sarawak dalam Majlis Perasmian Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-20 di Riverside Majestic Hotel, Kuching, Sarawak, hari ini .

Dalam teks perasmian yang dibacakan oleh YB Datuk Mohammad Razi Sitam, Premier Sarawak berkata bahawa penterjemahan disifatkan sebagai jambatan yang menghubungkan tamadun, sekali gus memperkukuh diplomasi silang budaya dalam dunia tanpa sempadan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keupayaan penterjemahan bukan sahaja memperluas akses kepada ilmu pengetahuan, malah memperkukuh kefahaman antara budaya pada peringkat global.

Katanya, di Sarawak, dengan lebih 30 kumpulan etnik yang memiliki bahasa dan dialek tersendiri, penterjemahan turut menjadi mekanisme pemeliharaan khazanah linguistik dan budaya yang unik kepada negeri ini.

Sesungguhnya saya tidak melihat penterjemahan ini sekadar alat komunikasi, bahkan hal ini menjadi pemacu strategik kepada pelan-pelan pembangunan Sarawak dalam memudahkan kerjasama dengan pelabur asing serta meningkatkan akses kepada modul dan latihan berkualiti.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pelaburan dalam bidang penterjemahan, latihan penterjemah profesional, dan teknologi linguistik adalah sebahagian daripada infrastruktur intelektual yang menyokong aspirasi besar Sarawak pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), khususnya Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi selaku tuan rumah, serta rakan penganjur, iaitu Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) atas kejayaan menganjurkan persidangan berprestij ini.

Persidangan ini menjadi medan subur untuk perkongsian ilmu, idea dan inovasi dalam bidang penterjemahan. Saya berharap ia dapat melahirkan lebih ramai penterjemah profesional, khususnya dari Sarawak, ke peringkat global.

Bersempena dengan majlis perasmian tersebut, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut mengadakan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman yang disaksikan oleh Yang Berhormat Datuk Mohammad Razi Sitam. Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari hadir dalam majlis perasmian ini.

Persidangan dwitahunan ini menghimpunkan ilmuwan, penterjemah profesional, penyelidik dan pencinta bahasa dari pelbagai negara bagi membincangkan peranan penterjemahan.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut mengadakan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman yang disaksikan oleh Yang Berhormat Datuk Mohammad Razi Sitam.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi