Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Para pembentang, peserta dari dalam dan luar negara yang hadir dalam Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-20 diraikan penuh meriah dalam Malam Aspirasi Warisan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.
Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari dalam ucapan alu-aluan mengucapkan terima kasih kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kerana memilih DBP sebagai hos atau tuan rumah bagi pelaksanaan Malam Aspirasi Warisan.
Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan bahawa Sarawak negeri yang kaya dengan pelbagai bahasa, budaya dan adat untuk diterokai.
Malam Aspirasi Warisan berlangsung dengan meriah dan diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Yang Berhormat (YB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Dato Sri Abdul Karim dalam ucapannya merakamkan penghargaan terhadap penganjur dan peserta persidangan kerana telah mewujudkan platform perkongsian ilmu serta memperkukuh kerjasama antara pakar bidang pada peringkat serantau dan global.
Saya berharap persidangan ini menjadi titik tolak terhadap kerjasama yang lebih erat, inovasi yang lebih kreatif, serta pencapaian ilmu yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Hadirin dipersembahkan dengan pelbagai persembahan termasuklah tarian pelbagai kaum, sape, puisi, lagu puisi dan kemuncaknya persembahan gendang Melayu Sarawak.
Tetamu kehormat yang hadir dalam program ini termasuklah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Naib Canselor, UNIMAS, Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, YBrs. Encik Sakri Abdullah dan Presiden Persatuan Penterjemahan Malaysia, YBrs. Dr. Hasuria Che Omar.
Persidangan tiga hari yang disertai lebih 250 orang peserta dari China, Indonesia, Singapura, Itali, Brunei, Korea dan Malaysia merupakan medan perkongsian ilmu, idea dan inovasi dalam bidang penterjemahan.

