Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 08:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Karnival Apresiasi Bahasa dan Kesenian bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2025 ternyata dapat memberikan ruang kepada murid untuk mengasah bakat, memperkaya kreativiti, menghayati keindahan bahasa dan memupuk keyakinan diri melalui seni persembahan yang berteraskan bahasa Kebangsaan.

Demikian menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Tuan Adam Adli Abd Halim ketika merasmikan acara penutupan dan penyampaian hadiah dalam program tersebut di Balai Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung selama tiga hari, bermula pada 22 hingga 24 Ogos 2025.

“Saya yakin program ini merupakan medan untuk mencungkil bakat seni anak-anak serta melahirkan generasi muda yang kreatif dan mereka akan mengenang bahawa kesenian, bahasa dan budaya pada suatu hari nanti akan terus berkembang mekar serta dipertahankan oleh generasi kita,” ujar beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menyatakan bahawa program yang melibatkan seni, budaya dan bahasa perlu didedahkan kepada murid sejak di bangku sekolah kerana selepas mereka menamatkan pengajian, peluang untuk didedahkan dengan perkara tersebut semakin berkurangan.

Tambah beliau,

Kita juga menyedari bahawa murid bukan sahaja didedahkan dengan pengalaman yang baik untuk diri mereka sendiri, malah membina pengalaman yang mampu melahirkan generasi hebat pada masa hadapan.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan dalam Program Karnival Apresiasi Bahasa dan Kesenian bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2025.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan kesediaan DBP untuk menawarkan ruang, dewan khas dan kemudahan lain pada bila-bila masa bagi melaksanakan sebarang kegiatan serta pertandingan berkaitan dengan bahasa dan kesusasteraan.

Tegas beliau,

Sokongan DBP bukan sahaja dari segi prasarana, malah meliputi kepakaran pelbagai bidang yang dapat melengkapkan kemenjadian anak-anak, di samping merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang sanggup meluangkan masa dan menyediakan perbelanjaan agar anak-anak mereka dapat terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat ini.

Pada masa yang sama, beliau berharap karnival ini dapat menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang bahasa dan kesusasteraan, sekali gus melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada perkembangan penulisan, pementasan dan seni kesusasteraan negara pada masa hadapan.

Ujarnya,

Diharapkan murid bukan sahaja menyertai pertandingan semata-mata, sebaliknya turut menghayati dan menjiwai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa kehidupan kerana seni dan bahasa mempunyai peranan besar dalam membentuk jati diri serta sahsiah.

Katanya lagi, murid bukan sahaja belajar melontarkan suara dan menghayati watak jika menyertai aktiviti seperti koir dan teater, malah memupuk nilai kerjasama, disiplin, kepimpinan dan rasa hormat terhadap budaya bangsa.

Program Karnival Apresiasi Bahasa dan Kesenian bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2025 ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, DBP dan PIBG SK Putrajaya Presint 8(1) serta mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tetamu undangan yang hadir bergambar bersama-sama YB Tuan Adam Adli Abd Halim sebagai tanda kenang-kenangan.

Turut hadir ialah Pengarah Institut Aminuddin Baki mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Encik Ab Aziz Mamat; Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Tuan Haji Ezaiddin Hussain; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Encik Abang Haliman Abang Julai; Guru Besar SK Putrajaya Presint 8(1), Puan Saliza Saludin; ketua bahagian DBP, karyawan DBP dan tetamu undangan lain.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi