Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Batu Sebelas Cheras muncul juara setelah menewaskan 27 buah sekolah lain dalam Pertandingan Koir Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan melalui Karnival Apresiasi Bahasa dan Kesenian bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2025.
Pertandingan yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam menyaksikan pasukan koir sekolah tersebut mempersembahkan lagu rakyat, Puteri Santubong.
Kemenangan itu membolehkan SJKC Batu Sebelas Cheras membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 berserta sijil dan buku iringan tajaan DBP.

Naib johan disandang oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 15 (1) yang menerima hadiah wang tunai RM1,200 berserta sijil dan buku iringan tajaan DBP.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh SK Putrajaya Presint 17 (1) dengan hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 beserta sijil dan buku tajaan DBP.
Dalam kategori berbeza, Pertandingan Trio Monodrama Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan menyaksikan SK Taman Bukit Dahlia dari Pasir Gudang, Johor meraih kemenangan utama dengan hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil dan buku iringan DBP.
Tempat kedua pertandingan itu dimenangi oleh SK Puncak Perdana, Shah Alam yang menerima hadiah wang tunai RM500, manakala tempat ketiga disandang oleh SK Taman Jasmin, Kajang dengan jumlah hadiah yang sama.

Selain pertandingan, program ini turut diserikan dengan persembahan teater kanak-kanak, Misi Duri X yang melibatkan murid dari SK Putrajaya Presint 8(1).

Majlis Penutupan Karnival Apresiasi Bahasa dan Kesenian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Tuan Adam Adli Abd Halim.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Institut Aminuddin Baki mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Encik Ab Aziz Mamat; Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Tuan Haji Ezaiddin Hussain; Guru Besar SK Putrajaya Presint 8(1), Puan Saliza Saludin; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Encik Abang Haliman Abang Julai; barisan guru besar; dan tetamu undangan lain.