Diterbitkan pada 30 Ogos 2025, 19:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Editor Majalah Dewan Bahasa, Puan Siti Zubaidah binti Sekak menegaskan bahawa karya yang dihasilkan sebaik-baiknya lahir daripada akal ciptaan Tuhan, bukan sekadar bersandar pada kecerdasan buatan (AI) semata-mata kerana penulisan yang baik perlu mengandungi nilai manusiawi untuk memberikan impak terhadap minda pembaca.

Cabaran kontemporari dalam penerbitan kini turut melibatkan AI. Editor terpaksa lebih bijak daripada penulis untuk mengenal pasti karya yang sepenuhnya dihasilkan oleh AI. Walaupun cara ini dilihat semakin dinormalisasikan, namun kesahihan maklumat yang diberikan tetap perlu disemak secara teliti.

Beliau turut menegaskan bahawa penghantaran karya melalui e-mel oleh penulis pelbagai latar belakang pada masa ini walaupun pantas dan mudah, namun masih sering berhadapan dengan pelbagai kesalahan teknikal.

Antaranya termasuklah penghantaran karya yang tidak mengikut format serta tindakan sesetengah penulis yang menghantar karya yang sama kepada beberapa editor majalah sehingga menimbulkan kekeliruan dalam proses penilaian.

Editor Majalah Dewan Bahasa, Puan Siti Zubaidah binti Sekak semasa memberikan taklimat berkenaan dengan perolehan bahan bidang bahasa bagi penerbitan majalah.

Demikian menurut beliau dalam sesi bimbingan kepada 30 orang peserta Bengkel Pemerolehan Bahan Bidang Bahasa untuk Penerbitan Majalah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah dengan kerjasama Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan DBP Wilayah Timur di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, hari ini.

Dalam sesi tersebut, beliau turut mencadangkan kepada para peserta agar menghasilkan karya yang menepati genre dan tema bulanan majalah terbitan DBP supaya lebih mudah dinilai dan diproses untuk diterbitkan.

Sebagai contoh, majalah Dewan Pelajar memfokuskan pendidikan akhlak, moral dan nilai murni untuk murid sekolah rendah, manakala Dewan Siswa disasarkan kepada belia, pelajar sekolah menengah hingga ke universiti.

Beliau turut mendedahkan faktor penolakan karya termasuklah karya yang tidak menarik, mengandungi unsur negatif atau sensitif, menyalahi kriteria penerbitan, terlalu banyak kesalahan bahasa, tidak menyertakan maklumat peribadi yang lengkap, karya berbentuk fotokopi, dan karya yang sudah disiarkan dalam media lain.

Spesifikasi penulisan sebenarnya sangat mudah. Karya mestilah asli dalam bahasa Melayu, enam hingga lapan halaman, ditaip dengan langkau dua baris, serta menggunakan muka taip teks Arial bersaiz 12. Penulis juga perlu menyertakan nama penuh, alamat, nombor kad pengenalan, nombor telefon serta maklumat akaun bank semasa menghantar karya.

Bengkel tersebut dibimbing oleh penceramah undangan, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Abdullah Yusoff atau lebih dikenali sebagai Dr. Loh (Pekak) yang juga Ketua Biro Penulisan Deskriptif GEMA merangkap Pengarah Eksekutif Akademi Minda Kreatif. Menurut beliau, penulisan rencana bukan kreatif merupakan satu cabaran yang memerlukan penelitian berbanding dengan penulisan kreatif. Karya peserta berpeluang untuk diterbitkan sekiranya karya yang dihantar berkualiti dan menepati syarat yang ditetapkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi