Diterbitkan pada 30 Ogos 2025, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Pada pagi ini, Pusat Beli-belah The Shore, Melaka, dimeriahkan dengan Festival Peranakan Malaysia 2025 anjuran bersama Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia; Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menerusi Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum; dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara; serta beberapa rakan kerjasama yang lain.

Penganjuran kali ketiga Festival Peranakan Malaysia ini bukan sahaja manifestasi  terhadap usaha DBP untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan Masyarakat pelbagai kaum, khususnya Baba dan Nyonya, malah festival ini merupakan wahana yang mengangkat budaya Peranakan sebagai khazanah warisan bangsa yang patut dihargai bersama-sama.

Yang Berhormat Datuk Ngwe Hee Sem, EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka merasmikan Festival Peranakan Malaysia 2025.

“Penganjuran Festival Peranakan Malaysia 2025 adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini dan seiring dengan gagasan Malaysia MADANI,” ucap Yang Berhormat Datuk Ngwe Hee Sem, EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, ketika merasmikan Festival Peranakan Malaysia 2025.

Encik Abang Haliman bin Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sementara itu, Encik Abang Haliman bin Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, dalam ucapannya pula menjelaskan akan pentingnya sokongan banyak pihak khususnya rakan sinergi dalam menjayakan program berteraskan bahasa dan sastera yang mencakupi masyarakat pelbagai kaum, seperti Baba Nyonya.

Ujar Encik Abang Haliman, “Program sebegini amat penting dalam mewujudkan rasa sepunya dan bangga akan bahasa kebangsaan dan budaya yang kita warisi agar tidak lapuk ditelan zaman, khususnya dalam kalangan generasi muda negara”.

YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoe, Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia.

Dalam majlis yang sama, YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoe, Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, menjelaskan bahawa festival ini turut mengangkat sumbangan besar tokoh terpilih dalam kalangan Baba dan Nyonya yang banyak memberikan inspirasi dan menjadi lambing jiwa MADANI yang sebenar.

Antara pengisian program sepanjang festival ini berlangsung termasuklah Pertandingan Mewarna Identiti Peranakan; Pertandingan Melarik Puisi; Pertandingan Ratu Kebaya Cilik Berpantun; Pertandingan Eksplorasi Bahasa Baba Nyonya; dan Dialog Peranakan Malaysia.

Dialog Peranakan Malaysia, “Sama tapi tak Serupa: Masakan Peranakan dari Dapur ke Dapur”  yang menampilkan ahli panel mewakili  Peranakan Baba Nyonya Melaka (Puan Teoh Luan Neo); Pulau Pinang (Puan Lily Wong Chiew Lee); Peranakan Cina Kampung Kelantan (Encik Tan Kee Leong); dan Peranakan Cina Terengganu (Puan Christine Kook Geok Suet).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi