Diterbitkan pada 6 September 2025, 18:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara akan terus terpinggir sekiranya versi terjemahan Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan tidak segera diiktiraf sebagai naskhah berwibawa.

Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik Kebangsaan (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong menegaskan bahawa langkah yang tertangguh lebih lima dekad itu perlu dimuktamadkan segera memandangkan bahasa Melayu bukan sekadar bahasa kebangsaan, tetapi juga bahasa rasmi yang wajib digunakan dalam semua sistem kenegaraan.

“Bahasa Melayu bukan hanya simbol negara. Bahasa Melayu perlu diberikan peranan yang sewajarnya sebagai bahasa rasmi kerana telah terbukti mampu mengungkapkan pelbagai bidang ilmu, termasuk bidang perundangan,” ujarnya.

Menurut beliau, pengiktirafan perlembagaan dalam bahasa Melayu sebagai naskhah berwibawa bukan sahaja diperlukan, malah amat penting bagi menjamin ketetapan, kejelasan dan keadilan dalam pelaksanaan undang-undang tertinggi negara.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Kijang Kencana 2025 bertajuk Bahasa Melayu Menongkah Arus” anjuran Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA), hari ini.

Tambah YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo, meskipun Perkara 160(B) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa versi bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai naskhah berwibawa, pelaksanaannya masih tertangguh akibat kebimbangan dan bantahan dari sudut perundangan.

“Versi bahasa Inggeris masih dianggap sebagai teks sah undang-undang. Padahal sejak tahun 1972 lagi, terjemahan rasmi dalam bahasa Melayu telah pun disiapkan. Jabatan Peguam Negara juga telah lama mencadangkan agar versi bahasa Melayu diiktiraf, namun sehingga kini masih belum dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau menegaskan, kelewatan ini bukan sahaja menjejaskan kedaulatan bahasa Melayu, malah turut melemahkan identiti nasional serta budaya negara.

“Perlembagaan ialah asas kepada sesebuah negara dan asas itu sepatutnya berdiri teguh atas bahasa negara sendiri,” tambahnya.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara akan terus terpinggir sekiranya versi terjemahan Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan itu tidak diangkat segera sebagai naskhah berwibawa YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong.

Dalam syarahannya, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo turut menegaskan bahawa bahasa Melayu harus difahami dalam dua kedudukan yang saling melengkapi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa rasmi.

“Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu melambangkan watan dan semangat nasionalisme. Namun begitu, sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu mesti berperanan secara aktif dalam pentadbiran, pendidikan, perundangan dan seluruh sistem kenegaraan. Di sinilah terletaknya aspek pragmatik dan tanggungjawab kenegaraan. Malangnya, sikap terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi masih negatif dan inilah cabaran sebenar,” jelas beliau.

Menurut YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo, pengiktirafan naskhah Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu akan mengukuhkan institusi bahasa sebagai tonggak negara bangsa Melayu-Islam, di samping menegaskan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan warisan serta aspirasi bangsa.

“Bahasa ialah identiti nasional yang menyatukan rakyat merentas etnik dan agama. Sekiranya bahasa Melayu diperkasakan, bahasa inilah yang mampu memupuk semangat kekitaan, menjadikan kita satu komuniti nasional meskipun berbilang kaum dan kepercayaan,” katanya lagi.

YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo turut mengimbas sejarah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 Jun 1956 yang telah berjaya memodenkan bahasa Melayu daripada sekadar bahasa vernakular kepada bahasa negara yang berstatus saintifik dan dinamik.

“Bahasa Melayu hari ini memiliki korpus yang mantap, sistem sebutan dan ejaan yang seragam, kaedah pembentukan kata dan ayat yang jelas, serta haluan wacana yang tersusun. Bahasa ini bukan sahaja memandaikan bangsa, malah turut memajukan negara. Maka, tiada sebab untuk kita terus meragui keupayaannya, termasuklah dalam bidang undang-undang,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa laras bahasa undang-undang dalam bahasa Melayu telah lama wujud dan berkembang seiring dengan ratusan laras bahasa lain, namun cabaran utama yang dihadapi kini ialah tahap keyakinan masyarakat serta keberanian pihak kerajaan untuk menegaskan kedudukan bahasa itu dalam kerangka perundangan negara.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Penasihat PUSPA, iaitu Yang Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim, YBhg. Prof. Datin Dr. Rahimah Haji Ahmad; Presiden PUSPA,  YBhg. Profesor Dr. Azizah Hamzah; Mantan Naib Canselor Universiti Malaya, YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob; dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi