Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Robotik “Bahasa Jiwa Bangsa” yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 September hingga 7 September di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP terus memperlihatkan kedinamikan elemen bahasa Melayu beradaptasi secara kreatif dan inovatif dalam bidang teknologi robotik.
Pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama World of Robotics Sdn. Bhd. ini berjaya menghimpunkan sebanyak 152 orang peserta dari 47 buah sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej vokasional yang berbakat dalam bidang robotik.
Sebanyak lima kategori yang dipertandingkan dalam penganjurannya kali ini, iaitu Misi Eksplorasi Cilik (pelajar sekolah rendah Tahap 1 dan Tahap 2), Misi Eksplorasi Remaja (pelajar sekolah menengah), Projek Bertema Cilik (pelajar sekolah rendah) dan Projek Bertema Remaja (pelajar sekolah menengah).
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.
Dalam ucapannya, Dr. Hazami menegaskan bahawa perkembangan dan penghayatan bahasa Melayu tidak harus terhad kepada bidang kesusasteraan dan kajian teks semata-mata, sebaliknya perlu diperluas penggunaannya dalam bidang sains dan teknologi.

Menurut beliau, hal berkenaan menjadi cabaran besar kepada DBP pada masa ini untuk memastikan ilmu sains dan teknologi dapat disampaikan secara efektif dalam bahasa kebangsaan.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan ini selaras dengan teras “kemampanan” dan “daya cipta” yang digariskan dalam gagasan Malaysia MADANI dan DBP kini sedang giat mengorak langkah memperluas kreativiti menerusi program kebahasaan yang bersifat interaktif dan teknologi.
“Usaha ini dijayakan melalui kerjasama bersama-sama sektor swasta dengan mengetengahkan elemen bahasa, sastera dan budaya sebagai pemangkin konsep yang mudah difahami peserta pelbagai latar,” jelasnya.
Menurut beliau, tanpa pendekatan yang berterusan dan inovatif, khalayak baharu tidak akan dapat diraih, malah bahasa dan sastera akan terus dianggap kaku serta tidak relevan.
Menyentuh pembaharuan pertandingan pada tahun ini, beliau berkata tema “Eksplorasi Robotik Jelajah Malaysia” berjaya mengetengahkan elemen dialek tempatan, lokasi bersejarah, makanan tradisional dan busana warisan menerusi kategori Projek Bertema. Pendekatan ini diyakini mampu memupuk kefahaman dan mempererat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Dr. Hazami turut menyatakan komitmen DBP untuk memperluas pertandingan ini ke peringkat kebangsaan pada penganjuran tahun ketiga kelak.
“Usaha ini akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya penyertaannya melibatkan para pelajar dari seluruh negeri, termasuk Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau turut menyasarkan agar menjelang tahun 2026 selaras dengan semangat Pelan Strategik DBP 2026–2030, pertandingan ini akan diperkasakan dengan penganjuran yang lebih menyeluruh, termasuk penganjuran festival kesenian dan kebudayaan sebagai pelengkap aktiviti pada waktu malam.

Sementara itu, para pemenang bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai sumbangan DBP, hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Pertandingan Robotik “Bahasa Jiwa Bangsa” merupakan satu inisiatif yang bertujuan memupuk minat generasi muda terhadap bidang robotik dan teknologi, di samping menerapkan nilai warisan bahasa dan sastera Melayu secara kreatif dan kontemporari.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Syarikat World of Robotics Sdn. Bhd., YBrs. Encik Zainuren Mohd Nor; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM, YBrs. Puan Rizawani Mustafa; Pengarah Urusan World of Robotics Sdn. Bhd., YBrs. Encik Lee Yew Kein dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Rodziah Md Yunus.
Pemenang Kategori Misi Eksplorasi Cilik Tahap 1
| Kedudukan | Pemenang | Hadiah |
| Johan | Muhammad Ashiq Noorizan dan Muhammad Aysar Aisy Mohd Saidi (SK Seafield) | Wang Tunai RM500.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Naib Johan | Syiza Maisarah Hariz dan Khalil Khairil (SK Seafield) | Wang Tunai RM350.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Tempat Ketiga | Sydney Alagendran (SK Convent Bukit Nanas 1) dan Muhammad Adam Redhuan (SK Bandar Utama Damansara 4) | Wang Tunai RM200.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
Pemenang Kategori Misi Eksplorasi Cilik Tahap 2
| Kedudukan | Pemenang | Hadiah |
| Johan | Hirzi Irsyad Zulamryn Afar, Nik Faris Adlan Nik Khairul Adli dan Raees Akashah Rezza Arif (SK Bukit Rahman Putra) | Wang Tunai RM700.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Naib Johan | Akeel Sivakumar, Khirhuthigaan Sivakumar dan Kanthan Prakash [SJK(T) Sentul] | Wang Tunai RM500.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Tempat Ketiga | Mohamad Naqeeb Wazif Mohd Zulfadli Fikri, Nur Iman Sumayyah Mohd Khairi dan Ariana Onn (SK Bukit Bandaraya) | Wang Tunai RM300.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
Pemenang Kategori Misi Eksplorasi Remaja
| Kedudukan | Pemenang | Hadiah |
| Johan | Arun Thiagarajan, Asha Thiagarajan (SMK Sri Andalas) dan Prathivv Prasad Kumar (SMK Sri Petaling) | Wang Tunai RM1,000.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Naib Johan | Muhammad Aisy Adam Mohd Hairulnizam (SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara), Muhammad Aidil Anuar (SMK Taman Melawati) dan Afsar Saifuddin Aqil Kamarul Azhar (SMK Kota Kemuning) | Wang Tunai RM700.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Tempat Ketiga | Muhammad Zirqie Muhammad Khairi (SMK USJ 13) dan Ahmad Danish Rozaini (SMK Taman Desa) | Wang Tunai RM500.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
Pemenang Kategori Projek Bertema Cilik
| Kedudukan | Pemenang | Hadiah |
| Johan | Levinesh Sukumaran, Wan Sarah Alanna Wan Mohd Ariff dan Shafi Airiss Rizwal (SK BUkit Rahman Putra) | Wang Tunai RM500.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Naib Johan | Ezra Abraham Mohd Yusnizam, Mukhsin Onn dan Vithurran Ramesh Kumar (SK St. John) | Wang Tunai RM350.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Tempat Ketiga | Muhammad Aydin Qushayyi, Muhammad Amsyar Qushayyi dan Ahmad Arryan Aqel Ahmad Kamal (SK King George V) | Wang Tunai RM200.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
Pemenang Kategori Projek Bertema Remaja
| Kedudukan | Pemenang | Hadiah |
| Johan | Muhammad Fitri Alwi Heri Sham, Muhammad Abdullah Fahmi Muhammad Zahri dan Amar Luqman Ahmad Tarmizi (Kolej Vokasional Klang) | Wang Tunai RM1,000.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Naib Johan | Ahmad Amirulhakim Salahoddin, Muhammad Afiq Azhar dan Muhammad Aqil Zafwan Abdul Aziz (Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja) | Wang Tunai RM700.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |
| Tempat Ketiga | Muhammad Aqif Naufal Marzuki, ‘Eida Rahah Mohd Amran dan Nur Zulaikha Zafirah Eddy Erwan (Kolej Vokasional Setapak) | Wang Tunai RM500.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan |