Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (BKPK) akan memperluas penganjuran Festival Bahasa dan Sastera ke peringkat zon di setiap daerah bermula tahun hadapan sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan.
Majlis penutupan rasmi festival ini telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Abang Haliman Abang Julai bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, petang tadi.
Menurut beliau, penganjuran Festival Bahasa dan Sastera akan dilaksanakan secara menyeluruh di setiap zon pada tahun hadapan bagi menonjolkan bakat anak muda dalam bidang bahasa dan sastera, di samping memberikan peluang kepada mereka mengasah kreativiti masing-masing.
Lebih banyak peluang akan diberikan kepada anak Orang Asli dan peribumi bagi menyerlahkan bakat mereka yang terpendam,” ujar beliau.
Pelaksanaan Festival Bahasa dan Bahasa pada peringkat zon ini dikendalikan oleh DBP Cawangan Sabah, DBP Cawangan Sarawak, DBP Wilayah Tengah, DBP Wilayah Timur, DBP Wilayah Utara dan DBP Wilayah Selatan.
YBrs. Encik Abang Haliman turut menjelaskan bahawa setiap juara pada peringkat zon akan bertanding ke peringkat kebangsaan untuk mewakili negara yang diuruskan sepenuhnya oleh BKPK.
Tambah beliau lagi,
Saya percaya bahawa peluang untuk bertanding pada peringkat kebangsaan ini digunakan dengan sebaik-baiknya oleh peserta dan guru yang dianggap sebagai “wira” dalam membimbing ke arah kemenjadian dan kejayaan murid.
Usaha para guru membentuk minat dan kemahiran dalam diri murid untuk menyertai Festival Bahasa dan Sastera ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun saya yakin bahawa para pendidik yang berada di dalam dewan ini telah membuktikan bahawa anda semua adalah guru yang hebat kepada negara.
Menurut beliau lagi, penganjuran Festival Bahasa dan Sastera pada tahun ini merupakan tahun kedua diperluaskan penyertaannya kepada murid Orang Asli dan peribumi.
“Pendekatan ini sudah tentu dapat membanggakan dan membuktikan bahawa Festival Bahasa dan Sastera ini merupakan program yang bersifat holistik dan terangkum tanpaj meminggirkan kaum minoriti dan peribumi”, tambah beliau lag.
Hal ini sejajar dengan Dasar Pendidikan Negara yang menekankan bahawa setiap murid berhak mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti tanpa mengira latar belakang, lokasi dan status ekonomi.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran Festival Bahasa dan Sastera 2025 ini merupakan usaha yang berterusan dalam memastikan bahasa dan sastera Melayu mampu menjadi “tiang seri” dalam pembinaan tamadun bangsa di negara tercinta ini.
Beliau menambah, antara aktiviti yang dipertandingkan dalam festival ini Pertandingan Deklamasi Puisi, Pertandingan Pidato, Pertandingan Bercerita dan Pertandingan Koir yang melibatkan murid secara menyeluruh dan terangkum agar dapat menjadi pemangkin dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan yang amat dititikberatkan dalam kerangka konsep Malaysia MADANI.

Festival Bahasa dan Sastera 2025 ini dapat memperlihatkan komitmen, sokongan serta iltizam daripada rakan sinergi termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Dong Zong; Pusat Kebudayaan Han dan Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan yang merupakan tunjang dalam pembinaan negara bangsa.
Sebagai rekod, penganjuran Festival Bahasa dan Sastera pada tahun ini berjaya menarik penyertaan sejumlah 400 peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Yang turut hadir dalam majlis perasmian penutupan ini termasuklah Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, YBrs. Dato’ Goh Hin San; Ahli Jawatankuasa Pusat yang mewakili Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, YBrs. Encik Tan In Fong; PERSPEKTIF ,YBrs. Encik Lim Chuan Boon, dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum(BKPK) YBrs. Puan Aninah Janang.