Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSabah – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah menerusi Unit Pembinaan dan Penyelidikan dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak serta DBP Brunei buat julung kalinya telah menganjurkan Seminar Kearifan Tempatan Borneo di bawah tema “Kearifan Tempatan Memperkasa Masyarakat MADANI” pada hari semalam.
Majlis perasmian seminar ini dimulakan dengan persembahan tarian etnik, alat muzik sape, dan penyampaian ucapan alu-aluan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed sebelum disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah.

Menurut YB Datuk Haji Nizam, usaha seperti seminar ini merupakan satu wadah yang penting dalam memperkenalkan dan memelihara kearifan tradisional agar tidak hilang ditelan zaman sekali gus menjadi satu medium untuk memperkenalkan serta mempromosikan kekayaan budaya kita ke pentas antarabangsa.
Dalam majlis tersebut turut diadakan Pelancaran Buku Panduan Umum Penyusunan Kamus Bahasa Sukuan terbitan DBP yang akan menjadi rujukan berharga kepada para penyelidik dalam penyusunan kamus dan pendokumentasian bahasa sukuan terutamanya bahasa sukuan di Sabah dan Sarawak.
YB Datuk Haji Nizam juga menyeru badan bukan kerajaan, terutamanya persatuan etnik yang berada di Sabah untuk mengambil peluang bekerjasama dengan DBP dalam pendokumentasian bahasa sukuan masing-masing.
Ujar beliau,
Kerajaan negeri Sabah akan menyokong usaha murni bagi memperkasakan bahasa sukuan melalui dana yang diperuntukkan.
Seminar Kearifan Tempatan Borneo ini membawa makna yang besar terhadap dunia bahasa, terutamanya dalam memelihara bahasa dan sastera serta dapat memberikan impak positif kepada masyarakat, di samping menjadi titik tolak terhadap pelaksanaan pelbagai program pemuliharaan etnik di Borneo pada masa akan datang.