Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan enam buah ensiklopedia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pelancaran ensiklopedia berkenaan melibatkan judul Ensiklopedia Sastera Melayu, Ensiklopedia Ikan Air Laut, Ensiklopedia Penyakit Berjangkit, Ensiklopedia Ikan Air Tawar, Ensiklopedia Serangga dan Ensiklopedia Sains Nuklear.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya berkata, enam judul ensiklopedia tersebut merupakan pelaburan jangka panjang yang membuktikan keyakinan negara untuk membina masyarakat berpengetahuan, berdaya cipta dan berwibawa, sekali gus mampu bersaing dan memimpin di pentas dunia.

Menurut beliau, penerbitannya juga menjadi manifestasi kesungguhan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berdaya saing, selaras dengan komitmen DBP untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat keilmuan Islam antarabangsa melalui diplomasi ilmu.
Selain itu, beliau menambah bahawa ensiklopedia tersebut diharapkan bakal menjadi mercu tanda ilmu dan peradaban, selain mengingatkan masyarakat bahawa setiap nilai yang diajar oleh Nabi SAW ialah cahaya (ilmu) yang wajib dipelihara.
“Ensiklopedia bukan sekadar helaian ilmu yang terkumpul, tetapi merupakan peta perjalanan pengetahuan, kompas yang membimbing ke arah ketamadunan dan cermin yang menegaskan jati diri bangsa,” katanya dalam Majlis Pelancaran Ensiklopedia Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Majlis Penyerahan Watikah Penterjemah dan Pentashih Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
“Ensiklopedia ialah infrastruktur intelektual sebuah negara yang menyusun fakta sahih, membebaskan minda daripada kabus maklumat palsu serta membuka ufuk ilmu yang melahirkan budaya kritis, inovatif dan bijaksana,” jelasnya lagi.
Ujar beliau, kerajaan mengiktiraf usaha DBP yang sentiasa menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman, termasuk pendigitalan khazanah ilmu melalui JendelaDBP, penerbitan kamus menerusi portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dan portal linguistik serta inisiatif yang lain.

“Namun usaha ini tidak boleh terhenti di sini, sebaliknya mesti terus diperkukuh, diperkasakan dan dipelopori dengan keberanian baharu agar DBP kekal relevan,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan langkah pendigitalan, pengantarabangsaan, serta integrasi dalam pendidikan bagi meningkatkan impak dan meluaskan capaian pembacaan terhadap ensiklopedia yang dilancarkan.
Pada masa yang sama, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa ensiklopedia merupakan bahan rujukan yang amat penting dan memberikan kesan terhadap keseluruhan ekosistem pendidikan, termasuk pembelajaran di rumah.
Kata beliau, bahan bacaan tersebut bukan sahaja memperkukuh pembinaan kefahaman terhadap ilmu, malah mengangkat peranan DBP sebagai pemangkin penyebaran ilmu pengetahuan di samping memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu yang relevan, berdaya saing dan progresif.

Sementara itu, majlis tersebut bertujuan memperkenalkan dan mempromosikan ensiklopedia yang telah diterbitkan oleh DBP dari tahun 2020 hingga tahun 2024 kepada masyarakat, selain menghargai sumbangan panel pakar bidang, penulis dan editor yang terlibat dalam penerbitannya.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Ahli Lembaga Pengelola DBP; Pengarah Jabatan; Ketua Bahagian; Ketua Editor serta pegawai kanan DBP dan agensi kerajaan.